Friday, November 2, 2012

Konflik Insan

Dalam menjaga perhubungan sesama manusia, apabila kita sukar menyelesaikan masalah dengan orang lain selepas gagal dengan segala usaha maka sampai peringkatnnya kita harus berserah kepada Tuhan menguruskannya. Ini adalah cara terbaik untuk mengelak konflik menjadi lebih serius dan buntu mencari penyelesaian. Tindakkan manusia ada waktunya lebih tegas dan keras, adakalanya mencapai ke tahap sukar dan luar kawal kerana kesabaran manusia ada batasan serta setengah tindakkan itu sukar diterima atau difahami pihak lain. Oleh itu, tindakkan dan perancangan Tuhan lebih sempurna dengan cara penyelesaian yang adil.

Thursday, November 1, 2012

ZIKIR DAN KEPENTINGANNYA DALAM TARBIYAH RUHIYYAH


Oleh : Tuan Guru Dr. Abdul Manam B. Mohamad al-Merbawi
Jabatan Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA
Tarekat Qodiriyah Naqshabandiyah

BAHAGIAN ZIKIR

Melihat kepada matlamat pengamalan zikir, para ulama tasawwuf membahagikannya kepada dua bahagian iaitu zikir hasanah dan zikir darajah. Zikir hasanah ialah zikir yang dilakukan bertujuan mendapatkan ganjaran atau pahala di sisi Allah di akhirat nanti. Manakala zikir darajah pula ialah zikir yang dilakukan bertujuan membersihkan hati, meningkatkan tahap kejernihan dan membuang hijab-hijabnya sehingga tercapai ma`rifah secara mushahadah (pandangan matahati), di mana ia bukan semata-mata mengharapkan ganjaran pahala di sisi Allah.

Oleh itu perbezaan utama di antara zikir hasanah dan zikir darajah adalah terletak pada tujuan zikir itu dilakukan. Zikir hasanah bertujuan mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah di akhirat, dan zikir darajah pula bertujuan menyucikan rohani serta membuang berbagai hijabnya. Selain itu, terdapat beberapa ciri lain yang membezakan di antara kedua-dua jenis zikir tersebut. Antaranya ialah zikir darajat itu dilaksanakan dengan hemah (semangat) yang tinggi disertai dengan kesungguhan dan istiqamah serta tumpuan diberikan kepada menghadirkan makna-makna zikir yang antara caranya ialah melaksanakan kaifiyyat-kaifiyyat tertentu. Begitu juga cara bagaimana zikir itu diterima dan diperturunkan. Zikir darajat memerlukan bay`ah, talqin dan irshad daripada murshid. Manakala zikir hasanah tidak memerlukan semua ini.

Zikir darajah inilah yang dinamakan oleh ahli tasawwuf sebagai zikir tarekat. Ia bukanlah zikir yang pelik, asing, tidak pernah didengari dan sebagainya, tetapi ia adalah zikir yang diwarisi dan difokuskan untuk penyucian hati dan mencapai ma`rifah dan seterusnya mendapat reda Allah dengan kaifiyyat dan persyaratan tertentu seperti yang digariskan oleh para ulama tasawwuf.

Shaykh `Abd al-Qadir `Isa menamakan zikir hasanah sebagai zikir umum manakala zikir darajah sebagai zikir khusus. Menurut beliau, zikir umum itu ialah zikir ganjaran dan pahala, iaitu seseorang itu berzikir mengingati Tuhannya dengan apa-apa bentuk zikir yang dikehendakinya, namun dia masih kekal dalam sifat-sifat kecelaan dirinya. Manakala zikir khusus pula ialah zikir hudur, iaitu seseorang itu berzikir mengingati Tuhannya dengan zikir-zikir tertentu dengan sifat (kaifiyyat) tertentu bertujuan mencapai ma`rifah terhadap Allah, dengan membersihkan dirinya dari semua sifat kecelaan serta menghiasinya dengan semua sifat kemuliaan, dan bertujuan melepaskan diri daripada kegelapan kebendaan serta ingin mendapatkan rahsia-rahsia kerohanian.

ruj: http://www.facebook.com/pages/Madrasah-As-Saidiyyah/149540581768474