Wednesday, June 17, 2009

MASJID AL-NAJIHIN, BANDAR SRI PERMAISURI.

Masjid terbaru di bandar Kuala Lumpur siap digunakan di Bandar Sri Permaisuri Cheras sebulan yang lepas. Masjid tiga tingkat berkonsepkan senibina Iran ini boleh menampung seramai 3000 orang jemaah di samping menyediakan pelbagai kemudahan untuk orang ramai dari orang kurang upaya OKU hinggalah untuk VIP termasuk kemudahan asas yang lain.
Sekadar berkongsi untuk ditontonkan kepada orang ramai di mana masjid ini mempunyai kelainannya terutama pada hiasan dalamannya. Di bahagian hadapan tempat solat imam dengan mihrab dan mimbarnya dihias dengan hiasan dinding yang menampilkan seni ukiran tradisional digabungkan dengan tulisan khat yang dibuat dari kayu menampilkan ciri-ciri senibina islam moden yang menggunakan kepingan gelas dan marmar untuk kemasan di kabinet dan di dindingnya.
Melihat masjid ini mempunyai potensi besar untuk dijadikan contoh, pihak pengurusan masjid memerlukan sesuatu idea yang baru agar berjaya menarik orang ramai hadir ke masjid. Jika ditambah dengan kemudahan yang lebih sesuai mengikut perkembangan dan keperluan semasa masyarakat setempat pasti akan menghasilkan kehidupan masyarakat yang lebih harmoni kerana kebanyakkan mereka mendiami di pangsapuri-pangsapuri ataupun kondominium.
Kemudahan yang telah disediakan mungkin boleh diperbagaikan lagi seperti diadakan dewan serbaguna, pusat komuniti masyarakat, pusat asuhan kanak-kanak, tadika islam, bilik kelas belajar agama ataupun perpustakaan yang lengkap dengan kemudahan IT.
Tetapi nampaknya cadangan ini tidak dapat disediakan mungkin cadangan ini hanya sekadar pendapat sahaja, sepatutnya pihak teknikal yang terlibat mereka bentuk dari awal lagi menyedari dalam tujuan mengimarahkan lagi sesebuah masjid. Tidak dinafikan kos pembinaan menjadi faktor juga dalam perkara ini.
Ini semua perlu memandangkan untuk menghidupkan sesebuah masjid di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur memerlukan pembaharuan idea yang lebih kreatif. Tidak hanya merancang untuk mengerjakan solat yang rutin ataupun solat Jumaat, hari raya atau majlis-majlis sambutan yang berkaitan dengan agama sahaja.
Oleh itu masjid boleh memainkan peranan penting menjadi alternatif untuk memberi kemudahan berguna kepada masyarakat jika diadakan kemudahan seperti yang telah dinyatakankan. Seterusnya boleh menghidupkan aktiviti di masjid setiap masa, contohnya dalam bulan Ramadhan boleh diadakan bazar jualan secara kecilan untuk penduduk berniaga maka sudah pasti orang akan tertumpu pada masjid.
Untuk cadangan mengadakan dewan serbaguna tujuannya untuk memberi keselesaan kepada masyarakat mengadakan majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, pesta jualan buku, bazar jualan atau aktiviti sukan. Disamping cadangan-cadangan lain yang boleh juga diadakan kerana keperluan tersebut sememangnya sangat diperlukan untuk warga kota.
Kemudahan seperti perpustakaan tujuannya memberi peluang di kalangan remaja dan kanak-kanak sekolah sebagai pusat pendidikan alternatif memandangkan masjid ini berdekatan dengan sekolah dan bangunan kediaman mereka. Ini boleh menggalakkan mereka mengisi masa dengan kerja yang berfaedah di masjid atau bilik IT yang disediakan.
Dengan ini dapat membantu masyarakat menghindari gejala-gejala sosial di kalangan masyarakat. Disamping objektif yang lebih penting ialah menghidupkan masjid dengan mengalakkan kehadiran orang ramai dengan perbagai aktiviti kemasyarakatan selain tujuan utama untuk menunaikan solat. Selepas ini diharapkan pihak terlibat seperti kerajaan, Jabatan Agama Islam, arkitek atau sesiapa yang terlibat membina masjid baru di masa hadapan agar mengambil kira cadangan yang dikemukakan. Masalah yang sering terdapat di masjid ialah seperti kekurangan tempat letak kereta, kekurangan jemaah, tempat wuduk tidak cukup, kebersihan tandas, masalah vendalisma, soal keselamatan dan selain yang telah dikemukakan di atas.

Memastikan kekurangan tersebut dapat diberi perhatian dan dikaji semula kelemahan yang ada agar peranan sesebuah masjid itu boleh dipertingkatkan lagi serta memberi kebaikkan kepada masyarakat sesuai dengan perkembangan semasa, mengikut perubahan zaman dan cara hidup masyarakatnya.
Semoga penduduk dapat menghargai kehadiran masjid ini dan sama-sama memelihara agar dapat memupuk masyarakat berakhlak agama. Pihak AJK pengurusan masjid ini kebanyakkannya terdiri dari kalangan yang berkelayakkan dan berpendidikan yang sudah pasti mampu menguruskannya dengan terbaik. Semoga masjid ini dapat dijadikan sesuatu yang berharga untuk masyarakatnya dan mendapat keberkatan dari Tuhan.

Tuesday, June 16, 2009

Melayu di perhamba 'ketuanan Melayu'?

'Ketuanan Melayu' dari pandangan seorang Melayu
Oleh Azly Rahman
Selasa, 09 Jun 2009 15:34

(Terjemahan daripada bahasa Inggeris oleh Centre for Policy Initiatives)

'Wahai Manusia! Tuhan kamu itu esa dan dan kamu semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada orang Arab yang lebih mulia dari orang bukan Arab atau orang bukan Arab lebih mulia dari orang Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih), selain daripada belas kasihannya. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.'

- Sabda Nabi Muhammad s.a.w (Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi)

'Malaysia – dipunyai oleh siapa? Kepada warga Malaysia. Tapi siapakah warga Malaysia itu? Tuan Pengerusi Majlis, harapannya sayalah warga itu. Namun kadangkalanya, duduk di kamar ini, saya meragui kalau-kalau saya dibenarkan menjadi warga Malaysia. Ia keraguan yang membuai tergantung dalam pemikiran ramai orang,.... [sekali] emosi digerakkan dalam tindakan, manusia berlaga sesama manusia sepanjang kata-kata yang tidak terucap, kamu akan berdepan dengan perang yang akan memecahkan negara dari atas ke bawah dan meleraikan Malaysia.' – Lee Kuan Yew, Menteri Kanan, Republik Singapura.

Menaksirkan Ketuanan Melayu sebagai 'Malay superiority’ (keunggulan Melayu) sebaliknya agak tidak bermakna, tidak tepat secara asal usul ilmu bahasa dan secara falsafahnya dilihat angkuh. Saya kira kata 'kediktatoran' lebih dekat pada pengertiannya. Seterusnya membaca tulisan ini, tolonglah jauhi daripada membuat penghakiman tentang nilai dan janganlah terperangkap dalam penjara bahasa yang berhubungan dengan kata 'kediktatoran'.

Mendikte ['dikte' kata akar 'diktator'] membawa erti tersirat memberitahu, yang juga bermaksud menceritakan. Menceritakan bermaksud menjalin kisah berasaskan satu ideologi. Mengideologikan bererti mengurung. Mengurung bermaksud akan diperangkap. Kediktatoran di sini bermaksud pemerangkapan. Seseorang itu bukan menyedari kebebasan untuk memerintah tetapi sebaliknya sedar dirinya dalam perangkap – dan cuba keluar dari keadaan yang menjeratnya itu. Inilah bentuk kesedaran palsu.

Kata-kata, seperti yang diungkapkan ahli teori sastera Raymond Williams, perlu dipancangkan pada konteks/diletakkan dalam keadaan ekonomi yang muncul di dalamnya. Pernyataan terkenal Marx bahawa kewujudan manusia itu berdasarkan takrif keadaan ekonomi mereka dan keadaan ekonomi tersebut telah ditentukan sebelum mereka lagi. Ini merupakan pandangan 'ketentuan' (deterministic) dalam sejarah manusia.

Saya pertama kali mendengar ungkapan Ketuanan Melayu dalam pertengahan 1980-an dari buku karangan Malik Munip. Saya membaca karyanya, dalam masa yang sama menelaah tulisan Lim Kit Siang, ‘Malaysia in the dangerous 80s’ (Malaysia dalam tahun-tahun 80an yang berbahaya) untuk mendapatkan kesan penghujahan. Waktu itu, saya seorang siswa pengajian Sastera, Pendidikan dan Politik Antarabangsa.

Saya juga mendengar, para pelajar Melayu tidak digalakkan membaca karya Kit Siang dan digalakkan membaca 'Ketuanan Melayu'. Saya sukakan buku-buku yang diharamkan dan buku yang disebut orang supaya jangan dibaca. Terdapat rasa cabaran intelektual atas keupayaan membaca buku-buku terlarang.

Saya membaca buku Mahathir Mohamad, 'Dilema Melayu' dan buku Syed Husin Ali, 'Orang Melayu: Masalah dan Masa Depannya' serta buku, 'Mitos Pribumi Malas' karya Syed Hussein Alatas serentak pada waktu yang sama. Sekali lagi, untuk mendapatkan rasa keseimbangan.

Saya membaca penerbitan rasmi tentang keadaan ekonomi, disamping iringan bacaan rapi analisa ekonomi-politik negara kapitalis Malaysia.

Saya membaca karya Freud dan Marx bagi melihat sejauhmanakah penghujahan tentang totalitarianisme dari para pengarang besar arus pemikiran Sekolah Kajian Kemasyarakatan Frankfurt (Frankfurt School of Social Research). Saya membaca Al-Quran dan Bhagavad Gita, Ramayana dan Mahabharata untuk melihat dimanakah berdirinya hujah berkenaan keunggulan kaum dan apakah takdir masa hadapan manusia.

Jika kita membaca sejarah perkembangan ideologi ketuanan ini, kita dapat melihat ide tentang penguasaan sosial dan keunggulan kaum kemungkinan segalanya hanyalah berpunca daripada ekonomi. Tetapi soalan saya – siapa yang berhak mendakwa bahawa tanah ini dan itu dipunyai oleh kumpulan orang ini dan itu. Di titik manakah budaya dan kewarganegaraan bertemu dan merundingkan isu berkenaan kesetaraan [fahaman egalitarianisme]? Di mana 'kebenaran satu-satu budaya' itu sampai ke batas hadnya dan datang persoalan menguasai tentang 'kebenaran kewarganegaraan'?

Ia perihal persoalan yang cukup rumit. Warga Malaysia perlu menjawabnya setelah 50 tahun kemerdekaan. Kita mesti membuka ruang perbincangan berkenaan isu ini.

Lirik propaganda

Mari kita melihat bagaimana gagasan ketuanan Melayu disebar luaskan ke dalam jiwa anak-anak muda. Salah satu caranya, melalui kem-kem pemaksaan kepercayaan (indoctrination) dengan menggunakan nyanyian lagu-lagu.

Lebih berdekad lamanya, barangkali jutaan pelajar Melayu diajarkan lagu propaganda berbahaya, ‘WARISAN/Anak Kecil Main Api’. Salah satu rangkapnya mengungkapkan kuasa orang-orang Melayu:

… kini kita cuma tinggal kuasa
yang akan menentukan bangsa
hasil mengalir, ke tangan yang lain
pribumi merintih sendiri…
(senikata lagu Biro Tata Negara)

Saya tidak fikir kita memiliki kejernihan kefahaman terhadap maksud lirik ini. Saya juga meragui penulis lagu ini benar-benar mengerti maksud 'sejarah rakyat Malaya'. Ianya lagu yang berasaskan hasrat perkauman; liriknya ditulis seorang yang tidak memiliki kefahaman ekonomi-politik sejarah warga Malaysia, apatah lagi kemajuan terkini di bidang ilmu kejiwaan (psikologi) tentang kesedaran.

Program-program latihan yang memerangkap jerat dengan tema lagu ini bertujuan menumbuhkan perasaan takut orang Melayu, bukan terhadap orang lain tetapi diri mereka sendiri, serta mengacukan kebencian terhadap kumpulan etnik lainnya tanpa menyedari siapakah musuh sebenar orang Melayu.

Ia menggunakan kaedah merehatkan tubuh bagi membawa gelombang otak dalam isyarat alpha dan keadaan yang bersesuaian untuk penyampaian pesan-pesan tidak senonoh di bawah sedar. Dalam keadaan ini para pelatih dipukau ke dalam keadaan 'separuh tidur' bagi menyerap pesan ketuanan Melayu yang menjajah kesedaran mereka. Teknik ini dipelopori ahli sains Rusia, Barzakov dan Lozanoz di awal tahun 1970-an, dinamakan ’suggestopedia’ yang digunakan untuk menanam rasa takut yang mencengkam dalam diri seseorang dan kebencian mendalam terhadap orang lain.

Sejarah adalah himpunan corak rumit tata cara aturan susunan kata-kata yang saling mempengaruhi di antara teknologi, ideologi, budaya, taksiran dan proses yang melembagakannya. Sejarah tidaklah semudahnya dapat dikurangkan setakat lirik-lirik dangkal yang pernah dinyanyikan suatu waktu dahulu sebelum perang [Dunia Kedua] di Jerman dalam alunan gubahan semangat kebangsaan yang melampau.

Sejarah juga tentang kerumitan perkembangan beransur-ansur (evolusi) kelas pemerintah yang memiliki teknologi-teknologi pengawalan. Seperti kata Marx, pada setiap zaman hanya sejarah penguasa yang mengawal perkakas-perkakas pengeluaran yang akan ditulis dan ditulis kembali. Pemenang menulis sejarah, mereka yang kalah menulis puisi atau mengkaji sains kajian budaya (antropologi), keluh sebahagian orang lagi.

Kembali ke lirik tadi. Setelah 50 tahun kemerdekaan, siapakah yang menderita di Malaysia? Siapa yang menjadi kaya-raya? Siapa yang membesar dan berkembang menjadi raja perompak? Apa yang terjadi ke atas sistem kehakiman kita, universiti kita, jalan-jalan di kota kita, jaminan keselamatan awam kita, sekolah kita, anak muda kita dan keseluruhan penyusunan sosio-ekonomi masyarakat menjelang pilihanraya umum ke-12 yang lalu. Bagaimana ide ketuanan Melayu menyumbang terhadap keadaan-keadaan yang wujud hari ini?

Bahasa kuasa dan ideologi di alunkan dalam lirik tersebut. Penakrifan 'bumiputera' dimainkan. Ia menjadi kata yang bermasalah dalam era dekonstruksionisme [fahaman tentang kemusnahan makna dan pembinaannya kembali dalam bermacam ragam taksiran atas dobrakan pada makna tersebut]; menurut penyair WB Yeats suatu era dimana tiada lagi pemusatan, “pusat bukan lagi penumpuan segalanya.”

Pemuzik rock akan mengingati lagu terkenal kumpulan Scorpion, 'Winds of Change' bagi mengenang runtuhnya Tembok Berlin dan permulaan pecahnya Empayar Soviet. Kita perlu berdepan dengan 'kemarahan' kata-kata

Tamatkan Ketuanan Melayu

Bagi umat penganut Islam di Malaysia, sabda Nabi Muhammad S.A.W ini memang biasa didengar:

'Asal usul turunanmu tidak perlu dibanggakan. Tidak juga ia membawa kepadamu keagungan. Wahai Manusia! Tuhan kamu itu esa dan dan kamu semua manusia berasal dari Adam dan Hawa. Kamu semua sama ibarat bijirin gandum di dalam cupak ... tiada yang lebih mulia dari lainnya, kecuali dalam amal saleh dan ketaqwaanmu. Untuk melihat seseorang itu dalam kekejian, mencukupi jika dia menghina orang lain dengan wang, amarah dan pembaziran....'

Saya menyatakan ketuanan Melayu merupakan gagasan berbahaya yang mengancam hubungan kaum. Ia merupakan taksiran sombong terhadap sejarah terpilih; sejarah yang memberi keuntungan besar terhadap sekumpulan orang hasil daripada penerapan ideologi ini.

Siapapun yang mempromosikan gagasan ini adalah dangkal dalam perihal perkara falsafah sejarah. Saya tidak fikir Melayu hari ini membeli ide 'ketuanan Melayu dan kediktatorannya'. Jika ada ketuanan satu-satu kaum itu, maksudnya kaum lain hanyalah 'hamba' dan 'abdi' atau 'warga kelas kedua'. Itupun kalau kita ingin menganalisa dari sudut pandang hikayat 'Tuan dan Hamba'?

Selaku orang Melayu yang ingin melihat berakhirnya gagasan layu Ketuanan Melayu dan lahirnya kesedaran baru yang menghormati martabat semua kaum dan maruah kesemua kumpulan etnik, saya menyeru warga Malaysia untuk terus bersikap kritis terhadap apa jua usaha oleh kaum manapun untuk mencanakkan gagasan ketuanan palsu mereka. Ini kerana ianya akan mencambahkan etnocentrisme [fahaman kecintaan kaum yang melampau] yang berjiran pula dengan xenofobia [fahaman kebencian terhadap orang asing].

Kita perlu bekerja sama untuk mendobrak [dekonstruk] segala bentuk susun aturan politik berasaskan kaum. Seiring dengan itu bekerja ke arah menzahirkan tata cara baru yang berasaskan kepada reka bentuk ekonomi yang lebih setara yang mengambil kira keperluaan asasi dan martabat kesemua kaum.

Kita mesti mengajar murid-murid sekolah bagaimana untuk mendobrak rasa keunggulan ketuanan kaum itu, bukan saja dengan mengajar tolak ansur tetapi kesetaraan masyarakat – melalui strategi pendidikan kedamaian. Kita akan menuai hasilnya buat generasi akan datang.

source by DR. AZLY RAHMAN

Wednesday, June 10, 2009

Contoh Solat Rasullullah SAW



BOLEH DIIKUTI DALAM http://rasuldahri.com/web/ATAU DALAM UTUBE http://www.youtube.com/watch?v=ORldLmuXiDQ

SEMOGA KITA DAPAT MENAFAAT DARINYA.

Tuesday, June 2, 2009

Nasyid - Al' irs Yad (Doa Taubat)

Ilaa hilaastu lil Firdausi ahla,

walaa aqwaa 'alaa Naaril Jahiimi.

Allah, fahablii taubatan

waghfir dzunuubii,

fainnaka Ghafirun dzambil '

adziimi...

Tuhanku aku tidak layak

untuk syurgaMu

tetapi aku tidak pula

sanggup menanggung

seksa nerakaMu,

dari itu kurniakanlah

ampunan kepadaku,

ampunkanlah dosaku,

sesungguhnya Engkaulah

pengampun dosa-dosa besar....

Tuesday, May 5, 2009

Jalan Bukit Putus semakin uzur

Bermula dari Ulu Bendul melalui jalan Bukit Putus...

Sekadar berkongsi kepada sesiapa yang melalui jalan Bukit Putus menuju ke Kuala Pilah dari arah Seremban atau sesiapa yang pernah melaluinya. Bukit Putus jalan berbukit dan berselekoh yang berada di sempadan kedua daerah dibina dizaman penjajah lagi untuk menghubungkan penduduk Kuala Pilah dan Seremban.
Berlaku kesesakkan ..kenderaan beratur panjang ke Seremban

Jalannya yang bengkang bengkok seperti jalan ke Genting Haighland atau ke Cameron Highland dan jaraknya sejauh sekitar 5km, kedudukannya di lereng bukit dikelilingi hutan simpan yang dekat dengan Gunung Angsi dan kawasan perkelahan Ulu Bendul.
Diatasnya terdapat kawasan tadahan air yang mengalir air gunung ke kawasan perkelahan tersebut.
Perjalanan dari arah Seremban harus mendaki kemudian jalannya menurun ke arah Kuala Pilah. Jumlah pengguna jalan ini jauh berbeza sejak 15 tahun kebelakangan ini kerana perubahan ekonomi menyebabkan jumlah kenderaan semakin bertambah termasuklah kenderaan berat.

Ini kerja-kerja untuk projek jalan baru
Atas perubahan itu menjadikan Bukit Putus sentiasa sibuk dan sesak terutama dihujung minggu dan musim perayaan. Kenderaan akan beratur sepanjang 5 ke 10 km untuk melalui Bukit Putus, lebih teruk kalau berlaku kemalangan atau kendaraan rosak di tengah jalan.

Jalannya hanya dua lorong pergi dan balik, pernah berlaku tanah runtuh, kemalangan maut, kenderaan masuk ke gaung, tetapi semua itu tidak memberi banyak perubahan pada bentuk persekitarannya. Jalan menghala ke seremban

Jalan ini berusia lebih seratus tahun, selekohnya masih sama cuma telah dilebarkan dan jumlah selekoh tajam juga tidak banyak seperti dahulu kerana jalan menurun ke Kuala Pilah ada yang sudah diluruskan.

Hari ini kalau kita melalui sudah pasti akan terfikir soal keselamatan bila melihat di lereng-lereng bukit kesan tanah runtuh berserta air lumpur atas jalan terutama sewaktu hujan lebat.
Jumlah tebing yang rosak mamang ketara dapat dilihat, banyak yang ditutup dengan kenvas sementara menunggu kerja-kerja membaik pulih. Baru-baru ini dikejutkan dengan jalan runtuh di sebahagian jalan menyebabkan jalan terpaksa ditutup dan dilarang kepada kenderaan berat, kemudian pengguna terpaksa mencari jalan alternative yang lebih jauh.

Pengguna terpaksa bergilir untuk melepasi Bukit Putus, tanah yang runtuh samada besar ataupun kecil kerap berlaku sekarang ini. Ada yang tidak berani lalu jika hujan lebat atau waktu malam kerana keadaan kurang selamat. Semoga semua yang menggunakan jalan ini lebih berhati-hati dan dijauhkan dari masalah.
Perancangan kerajaan membina jalan baru bedekatan Bukit Putus bermula dari Senawang ke Ulu Bendul bertaraf lebuhraya sedang giat dijalankan. Di bawah Menteri Besar sekarang pembinaan dapat dimulakan, sepatutunya kerja ini dimulakan dahulu lagi, disebabkan masalah politik dan ekonomi memaksa projek ini ditangguhkan beberapa kali, hampir 5 kali pilihanraya telah dijanjikan.

Kemudahan rakyat dipinggirkan, rakyat dibiarkan bersusah menggunakan jalan zaman penjajah, sedangkan projek lebih hebat dan besar dapat dibuat tetapi jalan untuk rakyat ini telah dilewatkan begitu lama. Masalah ini boleh dikongsi bersama oleh Kerabat Raja Paduka Tuanku Yam Tuan Besar yang sering berulang-alik dari Istana Besar Seri Menanti Bandar Diraja. Apapun rakyat bersyukur kerana projek ini terlaksana juga akhirnya, cuma tidak pasti bila perojek ini boleh disiapkan, menurut perancangan akan siap tahun 2009, tetapi dapat dirasakan mungkin akan terlewat setahun atau dua tahun. Malahan sekarang berlaku krisis ekonomi global, semoga kerajaan dapat menyiapkan seperti yang dirancang supaya tidak mengecewakan rakyat. Projek jalan baru dapat dilihat bersebelahan jalan Bukit Putus, pembinaanya berkonsepkan jambatan yang menghubungkan bukit-bukit serta dan terpaksa dipotong bukit untuk laluan namun keadaanya masih terkawal, alam sekitar juga masih terpelihara.Ada yang mengatakan penebangan balak di atas bukit menyebabkan tanah runtuh sekarang ini, diharapkan pihak berwajib memantau keadaan ini, seandainya betul satu tindakkan harus diambil. Pihak berkuasa ataupun pakar harus sentiasa memantau jalan Bukit Putus ini untuk menjamin keselamatan pengguna sementara jalan baru itu siap dibina.
Jalan selepas Bukit Putus menuju ke Seremban dan juga projek jalan baru.


Info Terkini:

- kemungkinan pembinaan jalan ini akan lewat disiapkan disebabkan kesilapan teknikal alignment pada tiang dan 5 jambatan utama, dijangka mungkin 2 tahun lagi.

- mungkin jalan dan jambatan yang dibina ini adalah yang tertinggi di Malaysia pada ketinggian hingga 50 meter