Friday, January 28, 2011

KEHIDUPAN DAN PERSEPSI

Kehidupan dunia adalah persepsi dari pancaindera yang dianugerahkan bagi menilai dunia luar dengan cara melihat, mendengar, sentuhan, merasa dan bau. Persepsi membuat kita mengetahui untuk menilai dunia luar yang dilalui oleh kehidupan semua manusia. Kemampuan mengetahui ini adalah persepsi dari bayangan imej di dalam fikiran dan otak yang terbentuk oleh ilusi minda. Persepsi ini memberi bayangan pada diri bagi mengetahui, berkehendak, merasa dan berusaha. Segalanya adalah rangsangan kehendak nafsu serta keinginan kita kepada keperluan hidup.

Semuanya dibayangkan dalam bentuk impian atau mimpi pada otak fikiran yang sentiasa berkerja untuk merialisasikan sebuah keinginan. Semua ini adalah ciptaan imej minda yang bersifat sementara sewaktu kita masih hidup dan akan berakhir apabila mati. Kehidupan hanyalah sebuah khayalan, ianya sekadar imej mimpi yang kita rasa dan usahakan untuk memilikinya dan persepsi ini tidak akan kekal.

Kehidupan kebendaan yang diinginkan untuk hidup ini hanyalah sebuah persepsi dari ilusi bayangan atau anggapan minda yang perlukan dalam dunia nyata. Persepsi fikiran ini sentiasa membuat anggapan dan bayangan pada otak kita yang memainkan peranan besar dalam kehidupan. Persepsi juga sebagai sebuah kuasa untuk memberitahu sesuatu yang ada di dunia luar atau peristiwa yang berlaku. Fikiran dan otak bersatu berkerja bersama dari sumber kekuatan yang dianugerahkan untuk kita menikmati hidup. Manusia amat bergantung kepada persepsi tanpanya kita tidak akan merasai realiti luar, dunia akan kosong tanpa ada perasaan, tanpa ada cerita atau peristiwa hidup.

Kemahuan pula dirangsang dari nafsu, kehidupan dan nafsu adalah tenaga yang mengerakkan kita berkerja dan berkeinginan semasa hidup. Nafsu dalam kehidupan semuanya bermain dengan ilusi dan persepsi tanpa batas, kehidupan akan gagal tanpa mengetahui apa yang harus dilakukan dalam dunia ini. Hidup cenderung mengikut persepsi nafsu, semuanya bersifat sementara hanya akan puas selepas menikmatinya. Nafsu memberi akibat baik dan buruk dalam hidup, kehidupan akan terus bermain dengan masa, nafsu, material, imaginasi dan khayalan. Perasaan untuk memiliki dan mencari nikmat atas dunia adalah lumrah namun tidak semuanya mampu menahan dan kekal selamanya.

Persepsi mengikut masa adalah dari memori dan ilusi dalam fikiran yang menyimpan peristiwa dan menilai masa hidup yang dilalui. Kehidupan adalah peristiwa yang diceritakan dari perbagai persepsi. Persepsi masa ialah adanya peristiwa serta perubahan yang berlaku, imaginasi manusia adalah penilai masa yang diciptanya sendiri. Persepsi masa ada waktu penghujungnya ia tidak bersifat mutlak sebaliknya manusia sendiri tidak mampu mengukur masa yang berada diluar kesedaran fikiran, kesimpulannya manusia tidak berkuasa dalam persepsi masa.

Manusia akan sering bermain dengan persepsi tetapi harus berani mengawalnya, kejayaan mencipta segala macam ilusi dan bayangan di dunia nyata memerlukan kebijaksaan mendalami persepsi hidup agar tidak lari dari kebenarannya. Segala di dunia ini adalah kehendak kejadian dan hukum Tuhan yang berkuasa dan berkehendak, tanpanya kita tidak akan menikmati makna keindahan hidup. Dari fikiran inilah terciptanya ilusi dan persepsi bersama dengan nafsu untuk mendapatkan sesuatu.

Semua yang diciptakan atas dunia ini memberi kepuasan kepada manusia, dari persepsi fikiran manusia itulah adanya kerja dilakukan dan berubahnya dunia. Tetapi kita tidak harus lupa pada batasan kuasa dan kemampuan asal yang dijadikan, dunia hanyalah perhiasan kepada makhluk sekadar ingatan agar tidak rugi selamanya. Kemampuan hidup dalam alam persepsi ini boleh menjadi hina jika disalah gunakan kelebihan yang ada.

Kuasa yang mengerakkan tubuh kita melakukan kerja dan mampu berfikir dari fungsi pancaindera, minda, tenaga dan jasad semuanya adalah dari Roh pemberian Tuhan kepada kita. Hidup akan berakhir hanya ketika nyawa diambil dari jasad, segala aktiviti harian akan terhenti dan tiada makna selepas itu. Inilah kekuatan dan tenaga sebenar yang ada membuatkan kita masih hidup.

Kesimpulannya kemampuan mengetahui ilmu pesepsi akan terarah diri kita kepada kepercayaan kepada adanya mati, syurga, neraka dan mengetahi adanya Tuhan iaitu Allah. Persepsi juga akan meningkatkan lagi keyakinan kepada agama sebenar iaitu Islam. Kekuatan dan kebenaran hidup dan beragama sebenarnya berada dalam diri sendiri.

Ilmu persepsi adalah musuh oleh mereka yang tidak percaya kepada tuhan dan keperluan agama untuk hidup, ahli falsafah materialis ini amat memusuhi kebenaran ini. Mereka bimbang kebenaran dari Islam akan menghapuskan kepercayaan mereka dan pengikutnya. Sesiapa yang mengetahui kebenaran persepsi ini pasti akan mengenali Tuhan dan Agama yang sebenarnya. Al Quraan dan Allah telah mengkabarkan perkara ini namun mereka enggan mengakuinya dari dahulu. Kemuncak dalam persepsi ini ialah bertemunya kehidupan sebenar di alam dunia, orang fasik dan musyrik adalah golongan yang sesat tidak bertakwa dan mereka tidak mahu mengakuinya.

Mengakui Tuhan adalah dengan amalan dan lisan. Hakikat masa yang ada adalah terhad dan sementara. Hidup dan masa adalah persepsi yang tidak ada warna, bentuk, saiz dan rasa, ianya adalah imej bayangan, ilusi, impian dan mainan minda dari fikiran serta nafsu. Hakikatnya manusia akan sentiasa berpenat-penat dalam hidup sehinggalah hari mati. Kehidupan, jasad, fikiran dan pancaindera adalah anugerah untuk mengenali Tuhan yang satu dan Agama yang benar.

Rujukan : Buku Harun Yahya

No comments: