Monday, October 20, 2008

AIDIL FITRI 2008

Assalamualaikum..terasa lama juga berehat semenjak selepas raya, hari ini dah masuk hari ke 20 Syawal hanya tinggal 10 hari lagi untuk kita berpeluang melakukan puasa sunat Syawal ataupun puasa enam. Semenjak selepas raya tempoh hari idea agak perlahan mencari isu-isu untuk dipaparkan dalam blog ini, walaupun dalam negara hari ini banyak isu yang boleh diceritakan tetapi saya masih berfikir apa yang terbaik untuk disampaikan kepada pembaca.

Jadi saya terfikir untuk berkongsi cerita pasal Hari Raya, baiklah saya akan mulakan dengan cerita perjalanan pulang ke kampung. Cuti yang bermula hari sabtu tetapi saya membuat keputusan balik kampung hari ahad pagi, ini bermakna saya ada tiga hari berada di kampung sebelum raya. Kesempatan ini telah saya gunakan untuk membuat apa yang patut, termasuk menolong orang tua saya di ke dua belah pihak, pihak isteri dan pihak saya. Kebetulan kampung kami tidak jauh cuma dalam satu daerah jika memandu kereta hanya mengambil masa 20 minit sahaja.

Tahun ini banyak masa buat persediaan di kampung. Semasa perjalanan pulang ke kampung keadaan di lebuhraya agak selesa tidak ada kesesakkan yang teruk terutama di lebuhraya menuju ke selatan, perjalanan lancar mungkin ramai sudah merancang waktu perjalan mereka dengan lebih teliti. Kamipun sampai di kampung menjelang waktu berbuka kerana berhenti di bandar Seremban untuk membeli serba sedikit persiapan yang masih belum dibeli.

Suasana di kampung semua sedang sibuk membuat persiapan akhir menjelang raya, di tepi-tepi jalan kelihatan sudah ada orang menjual daging. Selepas sampai di kampung saya telah pergi ke Pasar Ramadhan, keadaaannya memang sesak ketika membeli juadah mungkin ramai yang sudah balik ke kampung. Semasa memilih-milih untuk membeli kuih terkejut juga bila melihat harga kuih lebih mahal dari di KL, kalau di KL kuih masih lagi dapat seringgit tiga tetapi di kampung harga kuih satu 40 sen, nasi ayam pula satuRM4 ringgit.

Kebanyakkan harga sudah tidak seperti tahun-tahun lepas, berkata dalam hati inilah kesan dari kenaikkan harga minyak kalau tidak dipantau keadaan akan menjadi lebih teruk walaupun kerajaan sudah umumkan harga minyak turun sepuluh sen sebelum raya tetapi masih tiada kesan pada harga barang sudah pasti tahun ini ramai lebih berhati-hati untuk berbelamja.

Sehari sebelum raya adalah hari mantai iaitu hari yang dikenali oleh orang di Negeri Sembilan sebagai hari membuat persediaan sehari sebelum raya seperti memasak rendang, lemang, ketupat dan macam-macam lagi. Satu perkara yang wajib pada hari itu ialah membeli daging lembu dan ayam untuk dibuat rendang.

Awal pagi lagi saya telah keluar mencari daging di pasar dan membeli barang keperluan yang lain, ketika mencari-cari daging lembu di pasar saya lihat harganya RM18 sekilo kemudian saya cuba tengok di kedai tepi jalan, harganya dalam RM 20 sekilo. Hairan juga kenapa berbeza harga daging di pasar dengan daging di tepi jalan, mungkin orang yang berniaga di tepi jalan mencari untung lebih sebab mereka kebanyakkannya berniaga cuma setahun sekali menjelang raya sahaja....tetapi kenapa ini tidak di pantau?

Seterusnya saya pergi mencari keperluan lain, sememangnya harga barang di mana-mana pun sama tidak kira di bandar atau di kampung, semua orang terasa kenaikkannya. Siapa yang mahu disalahkan.... mahu tidak mahu terpaksa juga beli, perayaan cuma setahun sekali yang mesti disambut. Selesai membeli saya pulang ke rumah dan hantar ke dua-dua kampung sekali, sampai sahaja kelihatan orang tua kami sibuk di dapur dan juga di luar rumah sedang memasak.

Cuma di sebelah saya, orang tua saya sudah tidak sihat lagi dan tidak banyak yang dapat dilakukan, ayah saya sudah uzur tidak mampu untuk membuat kerja lagi, kalau berjalanpun mesti menggunakan tongkat. Kesihatanya sudah uzur sejak empat tahun dulu, macam-macam ubat dan hospital sudah diusahakn tetapi untuk sembuh masih belum lagi.

Jadi saya lebih banyak menghabiskan masa saya di rumah orang tua saya menolong apa yang perlu termasuk memasak rendang. Semasa sedang menyiang daging ayam yang baru dibeli untuk di potong kecil, jari saya telah terluka terkena pisau dan terkopek sedikit kulit di jari saya dan darahnya meleleh keluar, kemudian saya biarkan sehingga darah berhenti dan menyapu dengan minyak gamat. Semuanya saya lakukan dan mak saya hanya mengarahkan apa yang perlu manakala kakak hanya membuat kerja dalam rumah....untuk pengetahuan semua sekarang saya sudah tahu memasak rendang kampung orang Negeri Sembilan...hehehe. Begitulah rutin tugas saya setiap kali menjelang raya.
Menjelang petang semuanya hampir selesai dan saya pun serahkan tugas pada kakak saya untuk dihabiskan. Saya pun balik ke rumah orang mertua saya, di sana ramai yang membantu sebab adik-adik ramai, anak saya juga sibuk menolong termasuk memasang pelita dengan pakcik saudaranya. Persiapan di rumah mertua sama sahaja semua hampir selesai jadi boleh lah semua berehat-rehat sementara menunggu waktu berbuka kebetulan petang itu hujan telah turun.
Pada waktu malam menjelang raya saya telah keluar ke pekan dengan anak saya melihat di Bazar Ramadhan, kebetulan juga ada lelong kuih raya serta barang keperluan lain termasuk juga bunga api dan mercun. Keadaan sama seperti di Jalan Masjid India semua kuih dijual murah, saya juga ambil kesempatan membeli kuih dan tiba-tiba terjumpa kawan sekampung yang sedang berniaga, dia sudah lama saya tidak jumpa hampir 15 tahun. Selepas bercerita bertanya khabar terpaksa juga beli untuk menolongnya dan kuih-kuih itu saya berikan pada kedua-dua kampung.

Keesokkan hari adalah hari raya semua orang akan sambut Aidil Fitri, pagi-pagi saya sudah bangun bersiap untuk ke masjid bersama anak lelaki, jam 8 pagi selepas bersarapan secara ringkas saya keluar ke masjid kampung tapi bila sahaja sampai masih belum ada orang lagi, saya pun terasa pelik kenapa orang tidak ambil kesempatan bertakbir awal pagi lagi, jadi saya pun tukar program pergi ke masjid besar iaitu masjid daerah di pekan. Sampai di masjid orang sudah bersedia untuk solat, saya rasa sekejap sangat sebab sembahyang sunat raya akan dimulakan pukul 8.30 pagi. Bergegas mengangkat wuduk kemudian mencari tempat dalam saf solat tetapi sudah penuh sebab ramai yang sudah datang awal-awal lagi jadi sayapun pergi ke tingkat atas bersama anak saya.

Sampai di tingkat atas ada perkara yang tidak selesa bagi saya sebab lantainya kotor dengan tahi cicak dan burung, lantai hitam berabuk, semasa solat saya terpaksa mengalas sapu tangan untuk bersujud sudah lah karpet pun tidak ada. Untuk duduk pun tidak selesa inikan untuk bersolat, saya berasa tidak puas hati dengan pengurusan pihak masjid tidak membuat persediaan langsung untuk menyambut Aidil Fitri. Sepatutnya AJK masjid sudah tahu masalah ini kerana ramai yang akan bersolat kebiasaannya sampai di luar masjid orang bersolat, tetapi kenapa mereka tidak peka menguruskan hal-hal masjid, saya betul-betul kecewa.

Pagi itu sememangnya saya ada membawa duit untuk didermakan pada masjid, tapi bila fikir saya solat dalam keadaan yang tidak selesa, terus saya tawar hati hendak dermakan duit tadi dan saya telah beri pada seorang pengemis yang berada di luar masjid. Saya lihat dia duduk luar kawasan masjid seperti orang kurang siuman jadi tergerak hati untuk hulurkan duit pada pemgemis itu. Semasa saya hulurkan duit dia tersenyum kemudian ucapkan terima kasih dan selamat hari raya kepada saya, selepas itu saya terfikir dia ini gila atau tidak ataupun cuma jadi pengemis sebenarnya dia waras.

Timbul perasaan kasihan lihatkan dia di luar pagar masjid seorang diri, orang yang lalu di pintu masjid itu buat tidak tahu dengannya, kalau dilihat dari pakaiannya memang kotor dan bajunya koyak. Semasa berjalan keluar dari masjid saya melihat dia pun ikut sama beredar meninggalkan masjid. Mungkin perasaannya ingin beraya seperti orang lain sambil mendengar takbir di pagi raya.

Saya pun tak tahu kenapa saya terfikir untuk memberinya duit raya, secara sepontan saya dermakan duit padanya. Lagi satu perkara yang saya terasa ialah selepas hulurkan duit itu tadi dia bersalam dengan saya sambil ucapkan terima kasih dan selamat hari raya. Hati saya rasa gembira sebab saya mungkin sudah dapat mengembirakan hati orang yang dalam kesusahan, kenapa dia jadi begitu itu semua urusan tuhan, mungkin juga dia tidak minta untuk jadi begitu. Selepas itu saya pun beredar pergi ke kubur dan anak saya tersenyum selepas melihat peristiwa pagi itu.

Selepas itu kami pun menuju ke kubur menziarahi kubur emak yang sudah lama meninggalkan saya semenjak dari umur setahun lagi sambil menziarahi kubur nenak dan saudara-saudara yang lain. Selepas membersihkan kubur serba sedikit sambil membaca surah Yassin, selepas selesai ziarah kubur itu kami pun beredar balik ke rumah.

Sampai sahaja di rumah kami menziarahi pula kubur anak saya yang telah meninggalkan kami awal-awal lagi serta menziarahi juga kubur bapa mertua. Selepas itu saya balik ke rumah, seperti biasa awal pagi sudah ada yang datang ke rumah beraya sambil menjamu selera makan rendang, ketupat dan kuih-muih, suasana agak meriah dengan kehadiran ramai sanak-saudara terdekat.

Saya bersalam dengan tetamu kemudian bersalam raya pula dengan emak mertua dan Wan sambil hulurkan Ang Pow untuk mereka. Jam hampir pukul 11 pagi selepas melayan tetamu yang datang dan ada juga yang sudah balik selepas itu kami pula bersiap untuk balik beraya di rumah orang tua saya.

Kami beredar dari sana menuju ke kampung saya, sampai di sana sudah ada tetamu yang datang sekali lagi terpaksa layan mereka sambil tolong menghidangkan makanan. Ramai saudara yang telah datang hingga ke pukul 3 petang baru reda sedikit. Selepas itu kami berehat sementara menunggu adik yang lain balik untuk mereka ambil giliran membantu emak saya kerana kalau emak seorang nanti tidak terlayan jika yang datang dalam jumlah yang ramai terutama untuk membuat hidangannya nanti.

Bila keadaan sudah kurang orang datang , saya pun mula bersiap bergerak pergi ziarah rumah saudara terdekat dalam kampung, adalah dalam lima buah rumah yang wajib dan penting untuk diziarah seperti rumah bapa saudara, nenek saudar atau saudara yang terdekat. Selepas habis berjalan raya petang itu dalam pukul 5 petang saya balik ke rumah semula, sampai di rumah terpaksa melayan lagi tetamu yang datang. Kebanyakkan yang datang adalah saudara yang datang untuk menziarah ayah saya yang uzur, mungkin inilah masa sesuai melawat sebab waktu lain mungkin tiada kelapangan.
Semasa sedang rehat-rehatkan badan adik saya sampai dari Melaka untuk beraya di kampung, jadi semakin ramai ahli keluarga yang berkumpul menjelang petang. Hiruk- pikuk dengan suara anak buah yang bermain sesama mereka biasalah kalau sudah bertemu macam -macam aktiviti mereka semuanya ada 20 orang, berlari keluar masuk turun naik rumah sudah jadi perkara biasa memang payah hendak ditegur.
Menjelang malam saya keluar semula berjalan raya kerumah sepupu, kebetulan kakak saya akan balik ke rumah mertua beraya di Perak. Selepas beraya di rumah sepupu dalam sejam kami pun balik ke rumah dan kakak saya pun bergerak ke Perak malam itu juga.


Episod hari raya pertama habis, keesokkan hari raya kedua seperti biasa awal pagi sudah ada yang datang beraya, baru hendak bersarapan sudah ada yng datang kebetulan juga kami sedang bersiap-siap untuk beraya ke rumah saudara yang lain. Memang kebiasaan untuk hari raya kedua kami akan beraya di rumah yang agak jauh jaraknya. Tidak membuang masa saya pun minta kebenaran untuk keluar dahulu dari saudara yang datang.
Sedang bersiap-siap keluar rumah kelihatan kakak saya yang paling tua baru balik sampai dari Melaka untuk beraya di kampung, tahun lepas giliran dia beraya di sini jadi tahun ini giliran dia beraya di Melaka pula. Kami pun bersalam-salam bila dah selesai saya terus segera keluar takut ramai lagi datang dan tergendala lagi rancangan saya.

Semasa memandu di jalan saya dapati bilangan kenderaan bertambah banyak dan jalan-jalan di sekitar pekan sudah dipenuhi kereta, di simpang-simpang berlaku kesesakkan yang amat serius hingga polis terpaksa mengawal keadaaan, kesesakkan hampir sejauh 2 kilometer. Begitulah kebiasaannya setiap hari raya jalan di kampung menjadi sesak kebiasaannya kesesakkan memang teruk pada raya pertama dan kedua. Kamipun teruskan perjalanan dan semasa dalam perjalanan pulang saya tersangkut hampir 1 jam dalam kesesakkan.

Tahun ini saya ambil kesempatan untuk mengutamakan menziarah orang yang sedang uzur, yang sudah tua dan berumur. Menjelang petang hujan turun agak lebat mendinginkan sedikit cuaca panas tengahari yang berbahang, dalam beberapa hari itu hujan memang kerap turun pada waktu petang. Pada malamnya pula saya kembali ke rumah mertua saya kerana keesokkan harinya saya akan hantar isteri mula berkerja di KL, jadi saya tinggalkan anak yang kecil bersama dengan Wan nya untuk sementara.

Keesokkan awal pagi 6.30 pagi saya bergerak ke Kuala Lumpur, sepanjang perjalanan ke bandar KL di lebuhraya lengang dan perjalanan selesa tidak seperti hari-hari biasa selalu sesak. Selepas hantar isteri ke pejabat saya pun pulang ke rumah dan selesaikan hal-hal yang tertangguh kerana ada pejabat yang beroperasi. Selesai semua perkara saya pun balik berehat di rumah dan pergi solat jumaat, kemudian menunggu waktu petang untuk menjemput isteri saya balik kerja. Selepas itu nanti kami akan terus balik ke kampung semula untuk habiskan cuti hujung minggu pula, dan sampai di kampung pukul 7 malam.

Pada malamnya saya menerima panggilan dari kawan lama sewaktu sekolah dahulu yang mengajak keluar untuk berborak-borak kerana sudah agak lama tidak bertemu. Jadi sayapun setuju dan cuba menalifon kawan yang lain seberapa ramai yang boleh. Dapatlah dalam 5 orang yang boleh keluar yang lainnya ada yang sudah balik ke KL dan ada yang sudah memulakan dan ada juga yang tidak balik kampung sebab giliran beraya di kampung isteri.

Dalam pukul 10.30 malam kamipun berkumpul di sebuah kedai kueh tiow goreng yang memang terkenal di pekan itu. Dalam 5 orang itu ada seorang kawan yang saya tidak jumpa semenjak habis sekolah di tingkatan lima dahulu sudah hampir 20 tahun tidak berjumpa, malam itu kami bertemu kembali. Kami pun bersembang panjang bertanya perkembangan kawan-kawan yang lain serta tidak terlepas juga cerita hal politik masa kini, adalah seorang kawan saya ini adalah anak bekas Yang Berhormat parti BN, dia lah yang banyak bercerita hal-hal politik kebetulan juga dia aktif dalam Pemuda UMNO bahagian.

Ada juga yang menyokongnya terutama kawan saya yang berkerja polis, habis semua isu-isu panas dan terkini diceritakan. Saya ambil jalan tengah untuk tidak mahu membantah sebab tujuan saya berjumpa sempena hari raya jadi tidak mahu bercanggah pendapat atau menyinggung sesiapa. Sememangnya saya lebih pro kepada pembangkang jadi saya banyak mendengar mereka bercerita tetapi dalam hati terasa hendak menjawap juga. Hingga pukul 1.30 tgh. mlm habislah perjumpaan kami selepas bersalam-slam dan bertukar info kamipun pulang ke rumah masing-masing.

Keesokkannya hari sabtu, suasana raya sudah mula reda, jalan raya pun sudah tidak berapa sibuk lagi mungkin ada yang sudah pulang ke bandar memulakan kerja atau ada yang pulang awal untuk mengelakkan kesesakkan sebab cuti hampir tamat. Hari itu saya masih ada lagi tiga rumah yang mesti dihabiskan sebelum kami pulang ke KL. Saya membawa isteri dan emak mertua pergi ke rumah yang itu dan balik lewat petang.

Menjelang hari ahad suasana di kampung semakin kurang cerianya, kebanyakkan mereka bersiap-siap untuk kembali ke bandar, hari itu boleh dikatakan semua keluarga membuat persiapan untuk ahli keluarga yang akan balik atau menghantar anak-anak kembali ke asrama sekolah. Sekolah juga akan memulakan hari persekolahan pada hari isnin itu, kami juga sudah merancang untuk balik ke KL awal pagi kerana kami mungkin akan singgah pula di beberapa rumah yang berdekatan semasa melaluinya nanti.

Kami telah bertolak dari kampung isteri pada pukul 11 pagi serta singgah sebentar di kampung saya memberitahu orang tua saya, seterusnya mula bergerak ke KL. Kenderaan memang banyak menuju ke KL cuma ada sedikit kesesakkan di beberapa tempat tetapi masih terkawal. Dalam perjalanan itu saya singgah di rumah yang di rancang tadi, selepas semuanya selesai dalam pukul 4.30 petang kami menuju ke lebuh raya Seremban-KL. Cuaca waktu itu hujan agak lebat tetapi hanya sekejap, setibanya di tol Sg. Besi keadaan kenderaan lengang tidak banyak kenderaan beratur membayar tol, seterunya kami sampai ke rumah pukul 5.30 petang dalam cuaca hujan.
Sampai di rumah kami mengemaskan rumah untuk bersedia kalau ada tetamu yang akan datang, dimalamnya seperti biasa bersiap-siap pula untuk anak ke sekolah esok hari begitu juga dangan saya yang akan memulakan kerja isnin itu juga.

Inilah cerita beraya di kampung selepas ini bermula pula episod suasana menyambut raya di bandar. Begitulah sedikit pengalaman hari raya yang boleh dikongsi sebagai kenangan ketika beraya di kampung, alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan selamat seperti yang dirancangkan tidak ada perkara yang tidak baik berlaku. Semoga selepas perayaan ini memberi kita kekuatan baru dalam hidup setelah berpuasa selama sebulan serta melakukan amal-amal di bulan Ramadhan yang lepas akan memberi kita kekuatan untuk menempuh hari-hari selepas ini.

Semoga kita akan mendapat kekuatan selepas Aidil Fitri yang lalu dan berada bersama sebahagian dari orang yang beruntung berjaya merasakan kenikmatan yang Allah telah diberikan. Akhir kata Selamat Hari Raya dan selamat berpuasa sunat Syawal.