Monday, August 6, 2012

Kenangan Ramadhan....kembali semuanya.

Begitu lama tidak mengaktifkan blog ini terasa begitu kecewa, banyak perkara telah berlaku dan dilalui disepanjang tempoh tersebut atas sebab-sebab yang tidak disengajakan, dan juga masa dan ruang tidak memberi saya peluang untuk membuat paparan baru. Hampir setahun senyap tanpa sebaris ayat atau sepatah kata untuk dikongsi, semoga selepas ini ada kemampuan untuk berblog kembali.

Hari ini, dipertengahan Ramadhan semakin kita hampir ke fasa-fasa seterusnya yang mesti dilalui selama sebulan, segalanya akan bergerak menutup bulan yang hebat lagi berkat. Menjengah kembali dari pengalaman Ramadhan tahun yang lalu semua aktiviti dilakukan dengan penuh harapan dan kesungguhan dari dalam diri tanpa sesiapa yang tahu daya usaha ini.

Mencuri beribadah untuk diisi kedalam diri yang dirasa tidak penuh amal dan ilmu, maka bertahun dahulu dari kesedaran itu saya telah memulakan sedaya mungkin tanpa siapa berdamping kecuali keluarga yang melihat dan memahaminya. Berkali cuba diri ini merangkak, menyingkap helai quran dan menyebut setiap huruf dan kataNya dengan rasa sekadar mampu untuk cuma ketahui sahaja. Cubaan ini adakalanya berjaya dan ada juga gagal untuk dikhatamkan dalam sesingkat sebulan itu.

Bermula di rumah dan menjengah ke masjid selain solat terawikh, dilewat malamnya diakhir sepuluh hari yang indah itu aku kuatkan semangat dan azam ingin mencuba melakukan yang begitu ramai inginkan. Sekadar melakukan mengikut tahap diri kita siapa dan apa aras kita maka itulah juga waktu akan diulang-ulang setiap Ramadhan. Diri ini bukan hebat dan bukan seorang istimewa, hanya manusia biasa berkejar dan berlari mencari dalam dan luar rahsia tubuh yang dibalut hayat selagi ada.

Waktu-waktu malam Ramadhan diakhirnya sungguh nyaman, bergerak sendiri menuju ke destinasi diwaktu dingin penghujung malam menumpang jemaah dan saf yang matang bersama-sama berkiamulaii. Pengalaman bersama, begitu merasa kelebihan turut serta dalam samar gelap dewan masjid semuanya  itu telah bermula. Kesempatan yang biasa hanya di dua masjid, beriktikaf walaupun kadang-kadang terasa malu mampukah atau bolehkah aku melalui ini semua.

Sambil mengaji kebiasaan tangan jari menitip tasbih yang saban tahun menjadi teman rapat dalam kerja begini, hanya tasbih itu sahaja menjadi saksi setiap peristiwa sebegini. Anyaman jari menilik satu-persatu anak tasbih yang ku cuba ia dari suara tertanam dihati berdamping ke fikiran mengalir ke seluruh jasad bersama dengan dengupan jantung di situ adanya nyawa dan segala keistimewaan diri. Aras mana diri ini tidak aku ketahui adakala salah dan dosa berlaku juga walaupun kebaikkan dan ibadah mampu dilakukan.

Di penghujung malam hari sepuluh terakhir itu, dari pengalaman berada diawal tengah malam sebelum esoknya semua penghuni akan mula bergerak dan merancang keluar dari kota ini, aku cuba beriktikaf seawal pagi namun terhalang oleh penjaga masjid telah menyapa menerjah seolah terjejas keselamatan dalam rumah Allah itu. Aku patuh turut dan bangkit sedih meninggalkan malam dalam sesal, malah sesal ku bertambah kerana peneman tasbih yang ku genggam sekian lama bersama telah hilang tanpa disedari, apakah mungkin tertinggal dan jatuh di jalan semasa perjalanan keluar.

Tiba-tiba perasaan terasa marah, geram, sedih, kenapa? salah kah aku duduk di sini dan kenapa harus dikunci pintu masjid di hujung Ramadhan.... Maka sebab itu lah tasbih aku hilang, tangan dan jari terasa cacat tiada mampu kudrat ini hilang teman rapatnya. Hanya dia menjadi rakan sentiasa mendampingi aku di mana sahaja dari sekian lama, ianya terlalu istimewa hingga ke hari ini masih terasa dan aku merinduinya. Bila datang ingatan kepada tasbih aku sedih dan resah rindu dan risau bagaimana keadaannya dan di mana.

Waktu disiang harinya aku cuba mengulangi tempat duduk ku dalam rumah Allah itu, mencari jika ada tertinggal, aku murung senyap sambil mata liar mencari di sekitar hingga ke jalan luar. Sebelum bergerak ke luar menuju itu, aku tahu ianya sudah hilang tidak mungkin dapat kembali. Hati amat sedihhh... aku kehilangannya hingga kehari ini tiada penganti yang sebati dengan mulut, hati dan jari, keselesaanya berbeza, khusyuknya tidak sama, itulah rapatnya lebih dari semua sahabat hanya dia sahabat aku mencari dan mendekati untuk kenal kepada Tuhannya.

Ramadhan ini adalah kenangan dari cerita lalu dan hidup lalu, hari ini ada cerita baru dan hidup baru berganti walaupun tidak sama. Aku reda dengan kehidupan yang telah aku usahakan selama ini, takat yang dimiliki ada bersama biar moga harapan semuanya untuk lebih dan berjaya, tetapi bukanlah kuasa diri sendiri menentukan pemberian rezeki segalanya aku tawakal selepas usaha berharap hasil yang diberi hanya Tuhan yang tahu bila, bagaimana, dimana dan banyak mana. Pintu rezeki ini kita hanya mampu usaha dan mohon namun pemberi lebih tahu. Semoga hari seterusnya selepas Ramadhan ini akan lebih ceria di bawah berkat dan cita-cita dari Tuhannya.