Thursday, November 27, 2008

Kecantikan Wanita, Kegagahan Lelaki

Kecantikan seorang wanita bukan kepada rupa fizikal tapi pada murni rohani.

Perempuan yang cantik adalah:-

1) Perempuan yang tahan menerima sebuah kehilangan

2) Perempuan yang tidak takut pada kemiskinan

3) Perempuan yang tabah menanggung kerinduan setelah ditinggalkan

4) Perempuan yang tidak meminta-minta agar dipenuhi segala keinginan.

Kecantikan perempuan berdiri di atas teguh iman.

Seluruh kecantikan yang ada pada Khadijah adalah kecantikan sempurna bagi seorang perempuan.


Kegagahan seorang lelaki bukan kepada pejal otot badan, tetapi pada kekuatan perasaan.

Lelaki yang gagah adalah:-

1)Lelaki yang mampu mengalirkan airmata untuk ingatan

2)Lelaki yang sedia menerima segala teguran

3)Lelaki yang memberi madu, setelah menerima racun

4)Lelaki yang tenang dan lapang dada

5)Lelaki yang baik sangka

6)Lelaki yang tak pernah putus asa

Kegagahan lelaki berdiri di atas kemuliaan hati.

Seluruh kegagahan yang ada pada Nabi Muhammad adalah kegagahan yang sempurna seorang lelaki.

Friday, November 14, 2008

MELAYU! MELAYU! MELAYU!.....

Tiba-tiba panas isu Melayu! Melayu! Melayu!....kenapa selalu begini? Pantang disentuh sedikit, cepat kita melenting tak bertempat. Apa terlalu baik sangatkah atau terlalu hebat sangatkah orang Melayu ini, terutama Melayu di negara kita? Kadang-kadang begitu membosankan apabila Melayu begitu sensatif seolah-olah tidak boleh diusik atau dikomen langsung, inikah sifat sebenar kita orang Melayu!

Tidak malukah kita asyik melenting kalau ada orang berniat baik memperkatakan pendapat atau bertindak untuk kebaikkan kita sendiri dalam perkara yang membabitkan hak, keluarga, agama, maruah dan negara.

Kenapa tidak boleh untuk dibincang sesuatu yang lebih baik?

Apa sifat sebenarnya orang Melayu? Apa identiti orang Melayu? Apa kejayaan sebenar orang Melayu? Apa usaha orang Melayu? Sampai bila Melayu masih dengan perkara-perkara yang remeh untuk terus diwarisi kepada anak cucu akan datang? Kenapa kita tidak mahu berfikir perkara yang lebih baik untuk orang Melayu dan boleh dibincangkan tanpa dikaitkan dengan kuasa atau politik. Kenapa kita tidak sungguh-sungguh menjaga keseluruhan orang Melayu? Kenapa kita tidak berusaha membangunkan lagi bangsa Melayu dalam semua bidang? Sudah cukupkah kejayaan orang kita sekarang ini? Kenapa kita asyik menongkat bangsa kita untuk maju? Kenapa Melayu tidak berusaha membangun dengan cara sendiri tanpa bantuan? Kenapa kita tidak lebih sensatif untuk merubah identiti orang Melayu menjadi lebih baik agar tidak diperkecilkan oleh bangsa lain.

Kita sahaja kah Melayu yang ada di dunia ini, bagaimana dengan Melayu yang ada di tempat lain? Mengapa harus kita sensatif sangat kalau kita sudah berjaya, manja sangat ke Melayu kita? Kita cuma dipandang hebat hanya di kampung sendiri sebab itu kita tidak bersungguh-sungguh mempertahankan maruah orang Melayu, seolah-olah tidak ada perkara lain lagi penting kecuali Hak dan Ketuanan orang Melayu itu sahaja.

Sampai bila Melayu hendak begini? kebetulan di negara ini kita berkuasa dan kita adalah majoriti yang menguasai politik, negara dan agama Islam tetapi bagaimana orang Melayu yang merantau boleh berusaha tanpa ada keistimewaan semua itu namun mereka boleh berjaya tanpa ada pertolongan seperti di sini.

Adakah mereka juga sensatif seperti orang kampung di sini, kenapa mereka boleh menurut kuasa kerajaan negara yang mereka duduki, tidak pernah pula membantah atau meminta-minta hak keistimewaan mereka seperti di Malaysia ini. Tidak malukah kita asyik dinilai sebagai bangsa yang mementingkan kaum dan kuasa tetapi lemah dalam usaha dan ilmu, setakat mana hebatnya Melayu mencipta nama dalam dunia sekarang? cubalah kita nilai sejarah Melayu dari dahulu sampai sekarang, bagaimana kedudukan kita sebenarnya adakah kita terlalu hebat?

Bangsa lain di dunia luar lebih ramai dan lebih maju dari kita tetapi tidak seperti orang Melayu, mereka tidak asyik membincangkan hal-hal politik kampung halaman dan bercerita pasal ketuanan atau apa sahaja seperti orang kita, kita sebenarnya asyik hendak dimanjakan. Kalau ada orang bukan Melayu lebih baik, semuanya kita tidak setuju kemudian kita asyik dengan prasangka buruk dan hasad dengki yang tidak habis-habis terhadap mereka, inikah warisan dan identiti kita turun-temurun?

Adakah ini baik untuk anak cucu kita akan datang hidup dengan sifat perkauman, marah membabi buta, cepat melenting tanpa usul periksa dan tidak memperbaiki diri sendiri.

Kita masih bersifat kais pagi makan pagi kais petang makan petang, sifat penyabar kita terlalu baik hingga bangsa sendiri yang menjajah, menghina, mempermainkan kita sendiripun, masih terus diberi mereka peluang tanpa sedar mana yang baik dan yang buruk yang sepatutnya disokong akhirnya yang disokong itu sendiri yang merebahkan kita semua.

Melayu kita memang sifatnya mudah cepat selesa dengan sedikit kelebihan yang ada terutama yang tinggal di tanah air sendiri. Sifat cepat selesa dan terlalu sabar hingga kita menjadi tidak kreatif dan malas untuk melebarkan lagi kebolehan kita dan kita hanya mampu menjadi alibaba serta bernafsu ingin cepat menjadi boss untuk cepat kaya.

Kita sememangnya suka menunjuk lagak pada bangsa sendiri, cepat bongkak dan bangga diri terutama kalau dapat menunjuk-nunjuk dengan ahli keluarga atau kawan-kawan sesama bangsa. Berlagak seolah sudah berjaya bertaraf dunia, sifat suka memandang rendah pada orang lain, suka bermegah dengan harta dan pangkat yang dimiliki. Malahan kita juga sanggup membuatkan orang kita susah semata-mata sifat irihati tidak memberi orang melebihi apa yang kita ada, perhubungan sesama ahli keluarga juga tidak kukuh sering berbalah berkenaan status dan harta, yang baikpun pasti ada niat sebaliknya atau sekadar menjaga nama orang tua.

Maka terasa hebatlah dunia ini dengan kejayaan jika berjaya bersaing menunjukkan kehebatan diri pada bangsa sendiri, tetapi bila di beri peluang bersaing dengan bangsa lain dalam atau luar negara pasti menikus dan malu-malu terus tidak ada keyakinan diri.

Dalam perkara menuntu ilmu juga sama, malas membaca serta malas mengkaji serta menghasilkan sesuatu yang baru, perangai berlagak pandai konon semuanya boleh diuruskan, tidak merendah diri disamping tidak mahu belajar dari bawah malu menjadi kuli tetapi bernafsu menjadi boss. Sikap malas juga menjadi masalah orang kita, ego Melayu, heboh sekampung hasil tidak ada, depan bangsa lain menunjuk pandai tetapi otak fikiran masih Melayu lama.

Sikap hanya ingin bekerja disektor kerajaan ataupun di syarikat-syarikat besar untuk cepat senang serta boleh menikmati kemudahan yang tersedia dan tidak mahu berhadapan risiko hilang pekerjaan menjadikan kita bangsa yang semakin tidak berani mengambil risiko untuk berdikari dan berjaya, akhirnya kita masih dalam corak pemikiran yang sama tidak berubah hanya bergaul dalam tempurung sesama sendiri. Sampai bila?

Sampai bila asyik suka berpolitik hingga perkara karut pun mesti dipolitikan, itulah dia kehebatan orang Melayu semua perkara mesti dikaitkan dengan politik. Kononnya untuk maju kita mesti berada dalam politik, pada Melayu politik adalah segalanya tetapi kita tidak sedar politik yang macam mana yang menjamin kuasa Melayu itu? Politik sekarang semuanya tidak ada keikhlasan semua mesti dapat pulangannya, kuasa politik inilah membuatkan ramai Melayu ego dengan kuasa, siang malam pagi petang asyik dengan main politik, yang haram menjadi halal, keluarga terabai dan akhirnya negara boleh terjual.

Sifat kedaerahan begitu kuat yang masih tidak dibuang, walaupun ramai pelajar yang telah berlajar di luar negara beribu-ribu jumlahnya tetapi bila balik Malaysia terus menjadi kalut, pemikiran kembali ke acuan lama disalah guna kepandaian pada tempat yang sepatutnya. Sifat kedaerahan ini menjadikan kita mementing diri sendiri kesannya terbit sikap kroni-kroni mengikut keturunan, kawan, keluarga, politik dan kuasa.

Yang malas bertambah malas tetapi bernafsu hendak cepat kaya, yang rajin bertambah rajin hingga terlanggar hukum tidak mengapa, yang kaya bertambah kaya, yang berkuasa bertambah kuasa hingga melanggar undang-undang dan keadilan, yang tua asyik berpolitik mengejar kuasa dan harta, yang muda remaja asyik berhibur siang malam seperti tiada batas akhirnya gejala sosial semakin parah tanpa ada rasa takut pada peraturan dan agama. Artis pula semakin menjadi idola bukannya individu yang berilmu dan berakhlak yang ada dalam fikiran mereka jauh sekali golongan agama dijadikan sebagai panduan. Kadang-kadang kita ini lebih kebaratan dari orang barat itu sendiri, hilang jati diri kita yang sebenarnya.

Sememangnya kita berhak berasa marah dengan bangsa Melayu sebab itu saya juga berhak menulis untuk mencurahkan rasa geli perangai orang Melayu yang kebelakangan ini terlalu sensatif tidak bertempat dengan isu politik yang dikaitkan soal Ketuanan Melayu, Kuasa Raja Melayu dan Bahasa Melayu. Ini sengaja untuk menarik perhatian orang Melayu yang lemah semata-mata cuba mempertahan kuasa dan harta mereka yang semakin pupus. Akhirnya bangsa Melayu itu sendiri akan menjadi semakin lemah dan jika tidak ada suara-suara yang berani melawan wayang politik lucah yang dipertontonkan pada kita sekarang ini.

Bukanlah niat saya menulis ini penuh dengan sikap buruk pada bangsa saya sendiri, tetapi supaya kita sedar kelemahan yang ada, bukannya tidak ada kebaikkan pada orang Melayu cuma biarlah kali ini saya luahkannya dan nyatakan sifat buruk kita supaya kita celik memandang kehadapan demi Agama, Bangsa dan Negara. Lebih baik kita merubah yang buruk menjadi lebih baik sebelum kita ceritakan hanya yang terbaik.

Selepas ini saya akan menulis sifat baik orang Melayu, supaya saya lebih adil dan setidak-tidak saya sudah melepaskan geram yang terpendam.

disambung... akan ditambah baik lagi.