Tuesday, July 22, 2008

ALLEYCATS UNTUK SEMUA

Sekecil usia ku 8 tahun, dalam tahun 70an aku mengenali Alleycats yang menjadi sejarah dalam hidup ku yang mula mengenali lagu dan muzik secara dekat. Kalau sebelum itu aku hanya di dendangkan dengan lagu kanak-kanak semenjak dari tadika, seperti lagu twinkle little star, rasa-sayang hey dan banyak lagi yang aku sudah lupa. Sememangnya aku telah didewasakan dengan lagu-lagu Alleycats sehinggalah sekarang.

Dari Alleycats, aku mula mengenali apa itu artis, penyanyi, alat muzik, irama dan senikata. Ketika kecil aku hanya ada sebuah radio di rumah yang selalu aku dan keluarga berhibur, dari situlah aku mula belajar mendengar lagu popular tanah air, mula menyanyikan lagu-lagu popular dan mengenali artis-artis popular.

Alleycats berjaya menambat hati ku, aku meminati kumpulan ini kerana setiap lagu mereka ada kualiti serta irama yang menarik dan juga suara tersendiri. Lagu Alleycats yang pertama sekali mendapat tempat dihati aku ialah " SENANDUNG SEMALAM", lagu ini benar-benar membuka telinga orang Melayu yang mendengarnya. Seakan tidak percaya penyanyi yang membawakan lagu itu adalah seorang berbangsa India.

vokal David masih berjaya menghilangkan kerinduan terhadap Alleycats.

Alleycats benar-benar telah berjaya membawa lagu Melayu begitu baik sekali, pada zaman itu ada juga seorang penyanyi bukan Melayu yang berjaya mendapat tempat dihati pendengar iaitu Andre Gohh, seorang nama besar penyanyi bukan melayu yang berjaya membawakan lagu melayu asli dengan begitu baik sekali. Bukan aku sahaja yang meminatinya mungkin ramai yang seusia dengan aku juga meminati kumpulan Alleycats ketika itu.

Selepas kejayaan lagu Senandung Semalam itu, lagu-lagu kumpulan Alleycats terus berkumandang di corong-corong radio. Alleycats sebuah kumpulan muzik yang terdiri dari kalangan pemuzik pelbagai bangsa, penyanyinya adalah David Arumugam terkenal dengan gaya rambut afro berpasangan dengan adiknya bernama Loga juga gaya rambut yang sama, rambutnya menjadi identiti bagi kumpulan ini. Alleycats berjaya meletakkan nama mereka dalam senarai artis popular ketika itu.

Lagu Senandung Semalam adalah hasil ciptaan Wan Ibrahim dan penulis liriknya saudara M.Nasir, turut sama terlibat dalam pembikinan album-album mereka ialah S.Amin Sahab dan A.Ali, mereka benyak menyumbangkan lagu atau senikata untuk setiap album alleycats. M.Nasir sebagai komposer memang tidak dinafikan semasa dibawah beliau nama Alleycats telah berjaya kerana lagu hasil ciptaanya begitu istimewa dan ada sentuhan yang tersendiri.

Selepas dari itu album demi album telah berjaya dikeluarkan dan terus mendapat sambutan yang hangat dari orang ramai, aku juga tidak terlepas untuk membeli setiap album mereka. Pada masa dulu album mereka dijual dalam bentuk cassete atau piring hitam sahaja, kebetulan seluruh ahli keluarga aku meminati Alleycats jadi aku tidak ada masalah untuk memilikinya.

Kerana, Layang-Layang Putus Tali, Mawar Merah, Hingga Akhir Nanti, Gerimis Senja, Andai Aku Pergi Dulu, Sampaikan Salam ini semua adalah sebahagian dari lagu-lagu yang popular dalam album mereka. Aku percaya kalau kalau dijumlahkan lagu yang telah dibawakan atau dirakam dalam album dari awal hingga kini hampir melebihi seratus lagu dan juga mencapai 20 buah album telah dikeluarkan.

Usia Alleycats sehingga kini mencapai 40 tahun, satu usia yamg cukup lama untuk pemuzik atau penyanyi kalau mampu bertahan hingga kini. Dalam perjalanan usia yang cukup matang, banyak dugaan, cabaran, pahit manis, suke duka telah dilalui. Boleh juga kalau aku katakan Alleycats adalah satu-satunya kumpulan contoh yang harus dijadikan model oleh penyanyi baru zaman sekarang. Bukan mudah untuk seseorang artis mampu bertahan dan mengekalkan standard persembahan dalam usia yang begitu lama.

Sepanjang aku mengenali Alleycats tidak pernah aku dengar Alleycats terlibat dengan gossip yang boleh memburukkan nama mereka, bagi aku nama mereka cukup bersih dari unsur-unsur yang nagetif, mereka berdisiplin, kuat berusaha, profesional, tidak gila glamour atau mencari publisiti murahan. Mereka boleh dianggap sebagai simbol pemuzik perpaduan untuk rakyat Malaysia. Alleycats juga berjaya mendapat tempat dan bersaing membuat persembahan di luar negara terutamanya di sekitar asia.

Dalam usia yang begitu lama sudah pasti mereka tidak boleh lari dari usia tua dan kembali kepada tuhan. Tanggal 4 june 2007 telah kembalinya Loganathan menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 54 tahun kerana menghidap penyakit kenser paru-paru, beliau hanya mampu bertahan untuk hidup selama 8 bulan sahaja. Dalam tempoh itu, Loga tidak sedikitpun menghebohkan penyakitnya kepada orang ramai atau sahabat handai, jauh sekali untuk meminta simpati ataupun bantuan. Ramai dikalangan artis terkejut dan tidak percaya hingga di penghujung hayatnya beliau boleh merahsiakan penyakitnya. Itulah peribadi Loga, seorang yang begitu ikhlas dengan kariernya sebagai penyanyi.

Loga.. lagu Andainya Aku Pergi Dulu...rupanya ada benar untuk dirinya.
Aku juga terasa kehilangannya, persoalan aku apakah haluan kumpulan Alleycats selepas itu, sebahagian dari kekuatannya telah tiada, mampukah selepas ini Alleycats meneruskan kejayaanya seperti dahulu. Bagi aku Loga seorang penyanyi yang terbaik, ikhlas, jujur, dia mengabdikan seluruh hidupnya untuk menjadi penyanyi. Pesanan yang terakhir beliau sebelum menghumbuskan nafas terakhirnya ialah " teruskan menyanyi walaupun dia tiada lagi, alleycats mesti terus hidup" inilah harapan beliau untuk Alleycats.

Sebagai penghormatan, RTM telah membuat satu rancangan dokumentari khas untuk Loga dan telah ditanyangkan kepada rakyat Malaysia perjalanan dirinya selama terlibat dalam dunia nyanyian. Rancangan itu telah banyak kali diulang tayang, aku tidak pernah ketinggalan untuk mengikutinya, setiap kali itu jugalah aku kaku dan khusyuk menjiwai persembahan setiap lagu yang telah dinyanyikannya. Kehilangannya memang sukar dicari ganti.

Baru-baru ini Alleycats dianugerahkan darjah kebesaran dari Yang Di Pertuan Agong kepada David Arumugam sebagai tanda penghargaan Alleycats dalam industri muzik tanah air. Mungkin anugerah itu agak terlambat untuk mereka, sebab ramai artis lain yang muncul selepas Alleycats telah mendahuluinya menerima darjah kebesaran tetapi berbeza dengan nasib kumpulan alleycats. Aku mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih terhadap Yang Di Pertuan Agong kerana menyedari sumbangan mereka dan menganugerahkan pingat kebesaran kepada kumpulan Alleycats.

Alleycats tiada dua, mereka adalah lagenda dan nostalgia kepada industri hiburan Malaysia, tidak ada tolok bandingnya, peminatnya begitu ramai diluar sana yang masih menanti dendangan suara mereka. Mereka unggul semoga tiada ucapan terima kasihhh....!! ataupun nota terakhir pada masa ini kerana pengaruhnya begitu besar dan orang ramai masih lagi memerlukan Alleycats dengan irama yang segar yang mampu membangkitkan nostalgia.

Itulah serba sedikit coretan dari aku, sebagai tanda penghargaan aku untuk sebuah kumpulan muzik yang begitu bermakna dalam kenangan hidup ku, apabila aku mendengarkan setiap lagu mereka pasti membuat aku begitu ikhlas untuk menghayati nyanyiannya. Alleycats adalah himpunan kenangan dari kehidupan yang di rakam menjadi cerita, yang disimpan menjadi sejarah, yang disampaikan menjadi pusaka untuk kita semua.

kumpulan Alleycats di Istana Budaya pada Konsert Senandung Semalam bersama Alleycats baru-baru in

Terimaa...Kasihhhhh.....!!

Tuesday, July 8, 2008

ANWAR: LAWAN TETAP LAWAN !!

Nama Anwar Ibrahim sudah sinonim dengan masalah besar yang di hadapi dalam hidupnya, seolah sudah menjadi identiti dirinya dengan semua cabaran ini dari dahulu lagi, semasa zaman pelajar, musibah sepuluh tahun dahulu sehinggalah sekarang. Berjuang mempertahan nasib bangsa tetap didahulukan menjadi prinsip kepimpinan beliau, kesusahan dan kemiskinan rakyat menjadi tanggungjawap atas sifat kemanusiaan demi rakyat dan negaranya.

Timbulnya masalah dan tuduhan terbaru dalam isu beliau meliwat seorang pemuda berumur 23 tahun telah meletakkan dirinya pada badi fitnah berulang kembali seperti tahun 1998, zaman kejatuhan era politiknya di bawah kuasa kerajaannya sendiri. Sebagai manusia biasa, Anwar berhak untuk marah, melawan dan mempertahankan maruah diri serta keluarganya. Beliau masih waras dan masih lagi ada kesabaran dalam menahan serangan bertubi-tubi dari musuh politknya yang tidak putus-putus dari setiap peringkat.

Ramai irihati dengannya, kecekalan semangat yang ada dalam diri Anwar sentiasa meneruskan perjuangan telah mendapat tempat dihati rakyat. Pengalaman yang luas jatuh bangun dirinya dalam politik sudah cukup menjadi bekal dan tidak kira apa rintangan yang datang beliau tetap istiqamah menghadapinya. Malah telah terlihat sinar-sinar kejayaan bakal muncul dan boleh dimilikinya cuma menunggu waktu yang sesuai untuk beliau meniti puncak kejayaan.

Musuh-musuhnya tidak senang dengan kejayaannya, bagi mereka Anwar mesti dilenyapkan terus dari dunia politik tanahair, tetapi apakan daya Anwar tetap Anwar, sifat melawannya cukup tinggi biarpun dari dikelilingi jeriji besi, di belakang tembok batu, nyawa setengah mati, ditelanjang bogel tetapi selagi beliau bernyawa, tidak dapat hari ini hari esok, tidak minggu ini minggu depan, tidak bulan ini bulan depan, tidak tahun ini tahun depan...ANWAR LAWAN TETAP LAWAN !!. Itulah kata-kata keramat yang menjadi azimat yang tergenggam erat dalam dirinya kalau namanya untuk berundur dan mengalah sebelum berjuang itu bukanlah prinsip perjuangan seorang bernama Anwar!

Tuduhan meliwat bukanlah sebarang tuduhan, ini satu tuduhan luar tabii manusia seumpama kerja binatang, lebih hina dari membunuh, lebih hina dari merogol, lebih hina dari bergundik dan lebih hina dari sex bawah umur. Binatang sekalipun tidak menerjah mangsa dari jantina yang sama melepas nafsu buasnya, inilah satu-satunya cara tuduhan yang boleh menjatuhkan dan mematikan terus peribadi seseorang. Semuanya kerja gila, kerja orang terdesak, kerja orang tidak beriman yang lupa undang-undang dan hukum hakam agama. Agama dan Al Quran tidak ada dalam diri mereka, yang penting nafsu serakah untuk mencapai hajat lebih penting dari segalanya.
Berilah Anwar ruang dan peluang untuk melawan fitnah yang datang, biarlah dirinya menentukan sendiri akan kebenaran sebenarnya, seseorang yang tidak melakukan tuduhan tidak harus takut menghadapinya, seandainya kita takut sudah pasti selama-lamanya di dunia kita akan dituduh melakukannya. Anwar boleh melawan fitnah ini dengan tindakkan perundangan mempertahan diri di mahkamah kelak, Anwar boleh menjelajah seluruh negara, Anwar boleh menerangkan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana beliau ada hak sebagai rakyat dan sebagai mangsa fitnah. Beliau juga tahu akan azab bakal diterimanya sekiranya beliau berdusta.

Ada juga suara-suara yang meminta beliau bersumpah dengan Al Quran, lihatlah begitu jauh sekali harapan rakyat mahu melihat Anwar tidak melakukan tuduhan itu. Ini bukanlah cadangan yang baik, kerana masih ada ruang untuk menyelesaikan masalah ini. Kenapa kita begitu mudah meletakkan Al Quran menjadi bahan politik dan permainnan dalam isu ini, seharusnya kita tidak mudah melatah dengan cadangan ini.

Pasti Allah juga tidak suka manusia begitu mudah mempermainkan kitabNya untuk tujuan yang tidak sepatutnya dan bukan juga tujuan utamanya Al Quran diturunkan. Ceritanya selepas selesai acara bersumpah nanti setiap diri yang memegang Al Quran dengan lafaz tertentu itu dikatakan akan menerima azab jika tidak berkata benar, itu kita tidak nafikannya tetapi biarlah kita berfikiran lebih rasional berhubung kitab Allah ini untuk tujuan yang lebih penting.

Al Quran sebagai panduan hidup manusia di dunia dan akhirat dan wajib untuk dihayati ayat-ayatNya untuk dilaksanakan. Sebalik jika kita salah gunakan Al Quran dengan tujuannya, kita semua juga akan terima balasan Allah kerana tidak menjaga ketinggian kedudukan Al Quran itu sendiri. Wajib kita melaksanakan ajaran Al Quran barulah segala masalah fitnah memfitnah ini tidak timbul dalam masyarakat islam, kita wajib kembalikan diri kita kepada ajaran Allah.

Dari perkembangan terkini, baru-baru ini telah timbul akuan sumpah bersumpah oleh beberapa individu tampil memberitahu bukti-bukti baru berkaitan isu pembunuhan Altantuya, akuan Raja Petra Kamaruddin dan P. Balasubramaniam telah memberi impak baru terhadap kes ini. Dilihat Anwar juga terkena kaitan isu ini, ada cerita dan berita baru di sebalik isu ini dan tidak dinafikan memang ada kait mengait untuk membuktikan siapa yang lebih benar. Keadaan semakin komplek untuk diuraikan tetapi dua VIP ini terus tampil menafikan tuduhan ke atasnya. Yang pasti hari-hari berlalu secara sedar atau tidak, kebenaran tetap hadir menyebelahi mereka yang benar.

Suasana masih belum segawat dan seteruk mana, masih boleh dikawal dan diselesaikan dengan undang-undang yang ada, tidak perlu kita kecoh dengan cabaran sekecil ini. Yang paling penting harus diperbetulkan ialah diri manusia yang sudah tidak ada Islam dan Quran dalam dirinya.
Biarlah masalah ini mereka menyelesaikannya dahulu, dan kepada para Mufti dan Ulamak perlu memantau membetulkan dan memberi panduan sekiranya bertambah kusut.

Mohon para Mufti dan Ulamak tidak begitu cepat memberi komen dan mengeluar kenyataan tanpa ada perbincangan sesama mereka terlebih dahulu, kerana jika mereka tersilap langkah mereka juga boleh diheret sama untuk dipolitikan oleh politikus yang tidak bermaruah.
Saiful...kononya mangsa liwat boleh melambaikan tangan, memalukan diri sendiri di khalayak ramai. Bangga...membuat tuduhan bodoh kena liwat!

DUIT BATANG PISANG- Hishamuddin Rais

Saya siarkan tulisan Hishamuddin Rais yang terbaru untuk kita kongsi cerita dan kita renungkan berkaitan isu DS Anwar.

Jika Anwar di dapati bersalah oleh mahkamah rakyat tidak akan percaya. Apabila Najib dikatakan tidak terlibat dalam pembunuhan Altantuya orang ramai pun tidak percaya.
Percaya atau tidak percaya? Betul atau tidak betul? Najib betul ke atau Anwar yang betul? Raja Petra betul ke? Balasubramaniam betul ke?

Semua persoalan-persoalan ini sedang berada dalam fikiran semua warga negara ini sekarang. Anak semua bangsa, warga semua derjat sedang bertanya-bertanya dan berfikir kuat. Apa yang berlaku pada akhir bulan Jun ke awal Julai 2008 ini telah membawa kita semua kembali 10 tahun ke belakang – kembali ke September 1998. Mungkin ramai generasi muda tidak mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku 10 tahun dahulu. Mungkin ada juga generasi yang bukan muda tetapi telah kabur-kabur ingatan.

Hakikatnya sejarah sedang berulang. Berulang berputar jelas di hadapan mata kita semua.
Hakikatnya – semua soalan-soalan ini adalah manifestasi. Manifestasi ini hanya dapat kita fahami jika kita mengurut kembali ke belakang dan melihat sebab dan musabab yang melahirkan manifestasi-manifestasi ini.

Tidak dapat tidak sejarah akan membuktikan yang manifestasi-manifestasi ini adalah hasil dari 22 tahun Malaysia di perintah Mahathir Muhamad. Gaya, cara, tenik, pendekatan dan taktik pemerintahan Mahathir selama 22 tahun yang lalu telah melahirkan apa yang kita hadapi sekarang. Manifestasi hari ini lahir setelah ia ditanam selama 22 tahun. Seperti pokok durian ianya akan berbuah setelah 10 atau 15 tahun bijinya ditanam.

Yang kita tuai hari ini adalah biji dan benih-benih realpolitik yang telah ditanam dan dibajai oleh Mahathir Muhamad. Sama seperti durian jika benih yang baik maka buahnya pasti baik. Dalam realpolitik Mahathir Muhamad, dia telah berjaya menanam biji politik yang tidak sihat untuk Malaysia.

Betul – Mahathir Muhamad kini telah menjadi bekas Perdana Menteri. Betul – setelah bersara tidak mungkin susuk yang bernama Mahathir ini akan terus memiliki kuasa. Tetapi kuasa wujud bukan dalam bilik yang kosong. Kuasa wujud dengan memiliki alat-alat bantuan. Kuasa daulah dibantu oleh lembaga-lembaga daulah. Wujudnya kuasa kerana wujud bersama badan-badan penguat kuasa.

Lembaga-lembaga daulah ini diwakili oleh manusia yang bekerja, bergerak dan berkepentingan. Di sinilah Mahathir Muhamad telah merentas masuk. Dia telah menebas dan menebang beberapa akar umbi lembaga-lembaga daulah dan menanam benih baru. Kerana Mahathir ingin berkuasa lama maka dia telah memagari dirinya dengan pelbagai bentuk undang-undang. Dia telah mengubah perlembagaan. Dia telah meluluskan pelbagai akta. Malah dalam partinya sendiri dia telah beberapa kali membuat perubahan dan pindaan perlembagaan parti. Semua ini untuk memastikan yang dirinya terus berkuasa.

Lembaga-lembaga ini juga di duduki dan dipimpin atau di kepalai oleh manusia biasa yang berkepentingan. Orang-orang dipilih diwajibkan bertaat setia kepada Mahathir Muhamad. Sebenarnya taktik dan pendekatan realpolitik setia kepada Mahathir Muhamad ini bukan sesuatu yang baru. Di Mesir 3000 tahun dahulu Firaun telah menggunakannya, di Iran Ahmad Reza Pahlavi telah menggunakan nya, di Chile Jeneral Pinochet telah menggunakan nya, di Indonesia Jeneral Haji Ahmad Suharto telah menggunakannya.

Kepala-kepala dan pemimpin lembaga daulah - dari badan kehakiman, kepolisian, persuratkhabaran, keilmuan, perniagaan yang jujur, ikhlas dan ingin menjaga kepentingan ramai telah di buang kerja, di air batukan, di gantung atau di takut-takutkan dengan pelbagai cara.

Untuk sesiapa sahaja yang sedia bertaat setia mereka akan dinobatkan dengan limpah kurnia yang lumayan dari Mahathir Muhamad. Nikmat dunia ini tidak ada sempadan untuk mereka. Harta kekayaan datang mencurah-curah sehinggakan mereka sendiri pun terperanjat.
Inilah hakikat realpolitik 22 tahun Malaysia di bawah pemerintahan Mahathir Muhamad.
Hari ini apa yang berada di hadapan mata kita adalah bau haprak dan kelongsong politik yang telah ditinggalkan oleh Mahathir Muhamad. Abdullah Badawi adalah pewaris yang kelihatan masih tidak dapat tanggal dari kelongsong ini.

Ada dua lembaga yang amat-amat penting dalam semua lembaga daulah – Badan Kehakiman dan Badan Kepolisian. Satu berkuasa untuk mentakrif, mencipta dan menilai undang-undang dan satu lagi untuk penguatkuasaan undang-undang. Dua badan ini begitu penting sekali untuk semua negara.

Adalah salah jika ada warga yang menganggap bahawa badan kehakiman dan kepolisian boleh bergerak bersendirian. Dua lembaga ini wajib bergerak seirama dalam satu tempo. Tetapi jangan lupa ada lagi satu lembaga yang maha penting yang akan menilai lembaga-lembaga ini. Lembaga ini adalah orang ramai. Orang ramai ini ialah kita rakyat biasa ahli warga negara ini. Orang ramailah akhirnya akan menjadi juru penilai akhir.

Hukum dan undang-undang ini semuanya didirikan untuk memastikan kepentingan hak individu terjamin, untuk memastikan kebaikan bersama didahulukan, untuk memastikan kepentingan ramai dijaga bukan kepentingan kroni yang didahulukan. Ertinya undang-udang di buat untuk kepentingan kita – rakyat.

Kita - orang ramai wajib memiliki keyakinan terhadap lembaga-lembaga ini. Kita wajib yakin terhadap mahkamah dan hakim. Kita wajib yakin terhadap polis. Keyakinan terhadap lembaga- lembaga daulah tidak boleh dipaksa-paksa. Tidak boleh melalui ugutan. Tidak boleh melalui ISA, tidak boleh melalui tangkapan. Polis memang boleh menangkap tetapi apakah tangkapan polis itu diyakini ramai. Hakim boleh menjatuhkan hukum tetapi apakah hukuman itu diyakini orang ramai.

Pada masa perang dunia ke dua dahulu Tanah Melayu telah diduduki oleh Jepun dengan kekuatan senjata. Jepun juga telah meluluskan pelbagai macam undang-undang. Jepun juga ada mahkamah dan hakim. Jepun juga telah menahan ramai orang. Jepun juga telah memenjarakan ramai warga. Malah Jepun juga telah mengeluarkan Duit Jepun Pokok Pisang.

Kerajaan hari ini sedang menghadapi krisis keyakinan rakyat. Ini sama seperti tahun1998 dahulu. Sepuluh tahun dahulu apa sahaja yang keluar dari mulut Mahathir Muhamad akan di anggap sandiwara. Kini keadaan sedang berulang lagi. Rakyat tidak memiliki keyakinan terhadap badan kehakiman dan badan kepolisan.

Justeru, kunci untuk apa sahaja bentuk kerajaan dan daulah ialah keyakinan orang ramai. Tanpa keyakinan orang ramai kerajaan dan lembaga-lembaga daulah ini tidak akan dihormati dan akan luruh. Rakyat untuk sementara waktu mungkin boleh dipaksa. Untuk sementara waktu rakyat boleh dihukum. Inilah manifestasi krisis yang benihnya telah ditanamkan oleh Mahathir Muhamad kerana dia lama menjadi Perdana Menteri.

Pemerintahan Jepun di Tanah Melayu (1941-45) TIDAK di yakini. Mahkamah Jepun tidak di yakini. Hakim Jepun tidak diyakini. Tahun 2008 rakyat Malaysia melihat lembaga-lembaga daulah hari ini telah sampai ke tahap Duit Jepun Pokok Pisang – boleh dilihat tetapi tidak bernilai.