Sekadar berkongsi untuk ditontonkan kepada orang ramai di mana masjid ini mempunyai kelainannya terutama pada hiasan dalamannya. Di bahagian hadapan tempat solat imam dengan mihrab dan mimbarnya dihias dengan hiasan dinding yang menampilkan seni ukiran tradisional digabungkan dengan tulisan khat yang dibuat dari kayu menampilkan ciri-ciri senibina islam moden yang menggunakan kepingan gelas dan marmar untuk kemasan di kabinet dan di dindingnya.
Melihat masjid ini mempunyai potensi besar untuk dijadikan contoh, pihak pengurusan masjid memerlukan sesuatu idea yang baru agar berjaya menarik orang ramai hadir ke masjid. Jika ditambah dengan kemudahan yang lebih sesuai mengikut perkembangan dan keperluan semasa masyarakat setempat pasti akan menghasilkan kehidupan masyarakat yang lebih harmoni kerana kebanyakkan mereka mendiami di pangsapuri-pangsapuri ataupun kondominium.
Kemudahan yang telah disediakan mungkin boleh diperbagaikan lagi seperti diadakan dewan serbaguna, pusat komuniti masyarakat, pusat asuhan kanak-kanak, tadika islam, bilik kelas belajar agama ataupun perpustakaan yang lengkap dengan kemudahan IT.
Tetapi nampaknya cadangan ini tidak dapat disediakan mungkin cadangan ini hanya sekadar pendapat sahaja, sepatutnya pihak teknikal yang terlibat mereka bentuk dari awal lagi menyedari dalam tujuan mengimarahkan lagi sesebuah masjid. Tidak dinafikan kos pembinaan menjadi faktor juga dalam perkara ini.
Ini semua perlu memandangkan untuk menghidupkan sesebuah masjid di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur memerlukan pembaharuan idea yang lebih kreatif. Tidak hanya merancang untuk mengerjakan solat yang rutin ataupun solat Jumaat, hari raya atau majlis-majlis sambutan yang berkaitan dengan agama sahaja.
Oleh itu masjid boleh memainkan peranan penting menjadi alternatif untuk memberi kemudahan berguna kepada masyarakat jika diadakan kemudahan seperti yang telah dinyatakankan. Seterusnya boleh menghidupkan aktiviti di masjid setiap masa, contohnya dalam bulan Ramadhan boleh diadakan bazar jualan secara kecilan untuk penduduk berniaga maka sudah pasti orang akan tertumpu pada masjid.
Untuk cadangan mengadakan dewan serbaguna tujuannya untuk memberi keselesaan kepada masyarakat mengadakan majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, pesta jualan buku, bazar jualan atau aktiviti sukan. Disamping cadangan-cadangan lain yang boleh juga diadakan kerana keperluan tersebut sememangnya sangat diperlukan untuk warga kota.
Kemudahan seperti perpustakaan tujuannya memberi peluang di kalangan remaja dan kanak-kanak sekolah sebagai pusat pendidikan alternatif memandangkan masjid ini berdekatan dengan sekolah dan bangunan kediaman mereka. Ini boleh menggalakkan mereka mengisi masa dengan kerja yang berfaedah di masjid atau bilik IT yang disediakan.
Dengan ini dapat membantu masyarakat menghindari gejala-gejala sosial di kalangan masyarakat. Disamping objektif yang lebih penting ialah menghidupkan masjid dengan mengalakkan kehadiran orang ramai dengan perbagai aktiviti kemasyarakatan selain tujuan utama untuk menunaikan solat. Selepas ini diharapkan pihak terlibat seperti kerajaan, Jabatan Agama Islam, arkitek atau sesiapa yang terlibat membina masjid baru di masa hadapan agar mengambil kira cadangan yang dikemukakan. Masalah yang sering terdapat di masjid ialah seperti kekurangan tempat letak kereta, kekurangan jemaah, tempat wuduk tidak cukup, kebersihan tandas, masalah vendalisma, soal keselamatan dan selain yang telah dikemukakan di atas.
Memastikan kekurangan tersebut dapat diberi perhatian dan dikaji semula kelemahan yang ada agar peranan sesebuah masjid itu boleh dipertingkatkan lagi serta memberi kebaikkan kepada masyarakat sesuai dengan perkembangan semasa, mengikut perubahan zaman dan cara hidup masyarakatnya.
Memastikan kekurangan tersebut dapat diberi perhatian dan dikaji semula kelemahan yang ada agar peranan sesebuah masjid itu boleh dipertingkatkan lagi serta memberi kebaikkan kepada masyarakat sesuai dengan perkembangan semasa, mengikut perubahan zaman dan cara hidup masyarakatnya.
Semoga penduduk dapat menghargai kehadiran masjid ini dan sama-sama memelihara agar dapat memupuk masyarakat berakhlak agama. Pihak AJK pengurusan masjid ini kebanyakkannya terdiri dari kalangan yang berkelayakkan dan berpendidikan yang sudah pasti mampu menguruskannya dengan terbaik. Semoga masjid ini dapat dijadikan sesuatu yang berharga untuk masyarakatnya dan mendapat keberkatan dari Tuhan.
No comments:
Post a Comment