Friday, January 28, 2011

KEHIDUPAN DAN PERSEPSI

Kehidupan dunia adalah persepsi dari pancaindera yang dianugerahkan bagi menilai dunia luar dengan cara melihat, mendengar, sentuhan, merasa dan bau. Persepsi membuat kita mengetahui untuk menilai dunia luar yang dilalui oleh kehidupan semua manusia. Kemampuan mengetahui ini adalah persepsi dari bayangan imej di dalam fikiran dan otak yang terbentuk oleh ilusi minda. Persepsi ini memberi bayangan pada diri bagi mengetahui, berkehendak, merasa dan berusaha. Segalanya adalah rangsangan kehendak nafsu serta keinginan kita kepada keperluan hidup.

Semuanya dibayangkan dalam bentuk impian atau mimpi pada otak fikiran yang sentiasa berkerja untuk merialisasikan sebuah keinginan. Semua ini adalah ciptaan imej minda yang bersifat sementara sewaktu kita masih hidup dan akan berakhir apabila mati. Kehidupan hanyalah sebuah khayalan, ianya sekadar imej mimpi yang kita rasa dan usahakan untuk memilikinya dan persepsi ini tidak akan kekal.

Kehidupan kebendaan yang diinginkan untuk hidup ini hanyalah sebuah persepsi dari ilusi bayangan atau anggapan minda yang perlukan dalam dunia nyata. Persepsi fikiran ini sentiasa membuat anggapan dan bayangan pada otak kita yang memainkan peranan besar dalam kehidupan. Persepsi juga sebagai sebuah kuasa untuk memberitahu sesuatu yang ada di dunia luar atau peristiwa yang berlaku. Fikiran dan otak bersatu berkerja bersama dari sumber kekuatan yang dianugerahkan untuk kita menikmati hidup. Manusia amat bergantung kepada persepsi tanpanya kita tidak akan merasai realiti luar, dunia akan kosong tanpa ada perasaan, tanpa ada cerita atau peristiwa hidup.

Kemahuan pula dirangsang dari nafsu, kehidupan dan nafsu adalah tenaga yang mengerakkan kita berkerja dan berkeinginan semasa hidup. Nafsu dalam kehidupan semuanya bermain dengan ilusi dan persepsi tanpa batas, kehidupan akan gagal tanpa mengetahui apa yang harus dilakukan dalam dunia ini. Hidup cenderung mengikut persepsi nafsu, semuanya bersifat sementara hanya akan puas selepas menikmatinya. Nafsu memberi akibat baik dan buruk dalam hidup, kehidupan akan terus bermain dengan masa, nafsu, material, imaginasi dan khayalan. Perasaan untuk memiliki dan mencari nikmat atas dunia adalah lumrah namun tidak semuanya mampu menahan dan kekal selamanya.

Persepsi mengikut masa adalah dari memori dan ilusi dalam fikiran yang menyimpan peristiwa dan menilai masa hidup yang dilalui. Kehidupan adalah peristiwa yang diceritakan dari perbagai persepsi. Persepsi masa ialah adanya peristiwa serta perubahan yang berlaku, imaginasi manusia adalah penilai masa yang diciptanya sendiri. Persepsi masa ada waktu penghujungnya ia tidak bersifat mutlak sebaliknya manusia sendiri tidak mampu mengukur masa yang berada diluar kesedaran fikiran, kesimpulannya manusia tidak berkuasa dalam persepsi masa.

Manusia akan sering bermain dengan persepsi tetapi harus berani mengawalnya, kejayaan mencipta segala macam ilusi dan bayangan di dunia nyata memerlukan kebijaksaan mendalami persepsi hidup agar tidak lari dari kebenarannya. Segala di dunia ini adalah kehendak kejadian dan hukum Tuhan yang berkuasa dan berkehendak, tanpanya kita tidak akan menikmati makna keindahan hidup. Dari fikiran inilah terciptanya ilusi dan persepsi bersama dengan nafsu untuk mendapatkan sesuatu.

Semua yang diciptakan atas dunia ini memberi kepuasan kepada manusia, dari persepsi fikiran manusia itulah adanya kerja dilakukan dan berubahnya dunia. Tetapi kita tidak harus lupa pada batasan kuasa dan kemampuan asal yang dijadikan, dunia hanyalah perhiasan kepada makhluk sekadar ingatan agar tidak rugi selamanya. Kemampuan hidup dalam alam persepsi ini boleh menjadi hina jika disalah gunakan kelebihan yang ada.

Kuasa yang mengerakkan tubuh kita melakukan kerja dan mampu berfikir dari fungsi pancaindera, minda, tenaga dan jasad semuanya adalah dari Roh pemberian Tuhan kepada kita. Hidup akan berakhir hanya ketika nyawa diambil dari jasad, segala aktiviti harian akan terhenti dan tiada makna selepas itu. Inilah kekuatan dan tenaga sebenar yang ada membuatkan kita masih hidup.

Kesimpulannya kemampuan mengetahui ilmu pesepsi akan terarah diri kita kepada kepercayaan kepada adanya mati, syurga, neraka dan mengetahi adanya Tuhan iaitu Allah. Persepsi juga akan meningkatkan lagi keyakinan kepada agama sebenar iaitu Islam. Kekuatan dan kebenaran hidup dan beragama sebenarnya berada dalam diri sendiri.

Ilmu persepsi adalah musuh oleh mereka yang tidak percaya kepada tuhan dan keperluan agama untuk hidup, ahli falsafah materialis ini amat memusuhi kebenaran ini. Mereka bimbang kebenaran dari Islam akan menghapuskan kepercayaan mereka dan pengikutnya. Sesiapa yang mengetahui kebenaran persepsi ini pasti akan mengenali Tuhan dan Agama yang sebenarnya. Al Quraan dan Allah telah mengkabarkan perkara ini namun mereka enggan mengakuinya dari dahulu. Kemuncak dalam persepsi ini ialah bertemunya kehidupan sebenar di alam dunia, orang fasik dan musyrik adalah golongan yang sesat tidak bertakwa dan mereka tidak mahu mengakuinya.

Mengakui Tuhan adalah dengan amalan dan lisan. Hakikat masa yang ada adalah terhad dan sementara. Hidup dan masa adalah persepsi yang tidak ada warna, bentuk, saiz dan rasa, ianya adalah imej bayangan, ilusi, impian dan mainan minda dari fikiran serta nafsu. Hakikatnya manusia akan sentiasa berpenat-penat dalam hidup sehinggalah hari mati. Kehidupan, jasad, fikiran dan pancaindera adalah anugerah untuk mengenali Tuhan yang satu dan Agama yang benar.

Rujukan : Buku Harun Yahya

Monday, January 10, 2011

KEUTAMAAN BERSELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMAD S.A.W

Setiap umat Islam berkewajipan mengasihi atau mencintai Allah dan Rasulullah. Bukti seseorang itu berbuat demikian ialah dengan mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Umat Islam kini memang banyak mengakui beriman kepada Allah dan mengasihi Rasulullah. Tetapi sejauh manakah kebenaran pengakuan itu, jika terus enggan mengerjakan suruhan-suruhan Allah dan berselawat kepada Rasulullah?

Berselawat kepada Nabi Muhammad adalah salah satu bukti kecintaan seseorang itu kepada Allah dan Rasulullah. la tidak sewajarnya dipandang ringan oleh setiap umat Islam. Ini sesuai dengan kedudukan selawat itu sendiri yang memiliki berbagai keistimewaan dan kelebihan di sisi Allah.

Makna secara umum selawat adalah jamak dari kalimat solat. Di segi bahasa pula, ia bererti doa, rahmat dari Allah, memberi berkah dan ibadat. Dalam pengertian yang lebih luas, berselawat kepada Nabi Muhammad bererti memperbesarkan, mengagungkan serta mendukung perjuangannya yang mulia, di samping melahirkan rasa syukur atas perutusannya yang menjadi rahmat seluruh alam ini, malah menambahkan keyakinan beramal dengan sunnahnya yang diredhai Allah.

Sejajar dengan itu, selawat kepada Nabi Muhammad merupakan ibadah yang mulia dan terpuji. la mengandungi berbagai-bagai kelebihan dan mendapat pertolongan dan perlindungan yang istimewa dari Nabi Muhammad serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak.


اِنَّ اللهَ وَمَلَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا
Yang bermaksud, Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (member segala penghormatan dan kebaikan) kepada nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya .
(Surah al-Ahzab-56)

KELEBIHAN BERSELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMAD S.A.W

Al-Sheikh Abdul Kadir Al-Jelani Al-Hasani, Quddisa sirruhu menyatakan tentang kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. di dalam kitabnya al-Safinah al-Qadiriyyah. Beliau meriwayatkan daripada Ibnu Farhun berkata: Berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu mempunyai empat puluh dua kelebihan.Hal ini tertulis di dalam kitabnya ‘Hadaiq al-Anwar’:-

1.Melaksanakan perintah Allah.

2.Bersamaan dengan selawat Allah kepada Rasulullah s.a.w.

3.Bersamaan dengan selawat para malaikat.

4.Mendapat ganjaran sepuluh kali selawat daripada Allah atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada Allah bererti rahmat).

5.Dikurniakan oleh Allah sepuluh darjat atas tiap-tiap satu selawat.

6.Dituliskan oleh malaikat sepuluh kebaikan atas setiap selawat.

7.Dihapuskan oleh Allah sepuluh kejahatan atas setiap selawat.

8.Segala doa akan diperkenankan oleh Allah.

9.Mendapat syafaat daripada Rasulullah s.a.w.

10.Mendapat keampunan Allah serta akan ditutup segala keaiban.

11.Allah akan menutupi segala dukacita.

12.Dikurniakan maqam hampir kepada Rasulullah s.a.w.

13.Mendapat darjat al-Sidq.

14.Ditunaikan segala hajat.

15.Salam sejahtera pada hari kiamat.

16.Allah dan para malaikat akan berselawat ke atas individu yang berselawat.

17.Mendapat khabar gembira daripada Allah dengan balasan syurga.

18.Salam sejahtera pada huru-hara hari kiamat.

19.Rasulullah s..a.w. akan menjawab secara langsung ke atas setiap selawat yang dibacakan.

20.Mudah mengingat semula perkara-perkara yang lupa.

21.Mendapat kedudukan yang baik pada hari kiamat serta tidak akan kecewa pada hari itu.

22.Tidak akan merasai fakir.

23.Terpelihara daripada dihinggapi sifat bakhil.

24.Mendapat kesejahteraan daripada doa rasulullah s.a.w. kepada yang berselawat.

25.Selawat akan menjemput setiap pengucapanya ke jalan syurga.

26.Menjauhkan seseorang itu daripada terlibat dalam majlis-majlis yang tidak disebut padanya nama Allah dan Rasul-Nya atau daripada majlis-majlis lagha.

27.Berselawat menyempurnakan kalam pujian Allah apabila disebut (di dalam doa), maka akan disambut selepas itu dengan kalimah selawat ke atas Nabu Muhammad s.a.w.

28.Selamat melintasi titian Sirat al-Mustaqim pada hari kiamat.

29.Disambut oleh Allah pada hari kiamat dengan kata-kata pujian yang lunak.

30.Mendapat balasan rahmat yang luas daripada Allah.

31.Mendapat keberkatan daripada Allah.

32.Mendapat kesempurnaan iman.

33.Kasih dan cinta kepada Rasulullah s.a.w.

34.Mendapat hidayah Allah dan dikurniakan hati yang sentiasa hidup mengingati Allah.

35.Setiap selawat yang dibaca akan dibentangkan dihadapan Rasulullah s.a.w. secara langsung.

36.Teguh pendirian dengan kebenaran.

37.Berselawat bererti kita menggunakan sebaghagian hak-hak Rasulullah s.a.w. ke atas diri kita. Disamping itu ianya dianggap sebagai mensyukuri nikmat Allah yang mengurniakan dan mengutuskan Rasulullah s.a.w. kepada kita.

38.Berselawat juga bererti zikrullah, bersyukur serta mengikut segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah.

39.Berselawat bererti melengkapkan pengertian berdoa dan memohon kepada Allah, ke atas Rasulullah s.a.w. dan kepada diri sendiri.

40.Antara kelebihan yang paling hebat kepada setiap individu ialah akan terjelma gambaran Rasulullah s.a.w. di dalam jiwanya.

41.Dikurniakan oleh Allah maqam seorang Syeikh dan Murabbi.

42.Mendapat kebahagiaan, ketenangan hidup didunia dan akhirat.


Antara hadis-hadis yang menyatakan tentang kelebihan selawat ke atas Rasulullah ialah:

“Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat. ” -(Riwayat Tabrani)

“Barang siapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barang siapa berselawat kepadaku dari jauh maka, selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.-(Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib)

“Barang siapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapuskan sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.” -(Riwayat Ahmad, Nasai dan Al Hakim)

Dari Ubai bin Ka ‘ab: “Aku bertanya, wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku memperbanyakkan selawat, maka berapakah aku jadikan untukmu dari selawatku? Nabi bersabda: Apa yang kamu kehendaki. la berkata: kataku: “Seperempat.” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai dan jika kamu tambah maka itu yang lebih baik bagi kamu.” Kataku: “Apakah sepertiga? ” Sabda Nabi: “Apa yang kamu sukai, jika kamu tambah itulah yang lebih baik bagi kamu.” la bertanya: “Apakah aku jadikan selawatku buatmu semuanya.” Nabi bersabda: “Jika demikian maka dicukupilah cita-citamu dan diampuni dosamu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi dan Al Hakam)

“Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa pembersih dosa) bagimu.” -(Riwayat Ibnu Murdawaih)

“Barang siapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah mendatangkan baginya seratus hajat, tujuh puluh untuk akhirat dan tigapuluh untuk dunianya. ” (Riwayat Ibnu Majar dan Jabir)

“Barang siapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga.” -(Riwayat Abus Syaikh dari Anas)
“Orang yang bakhil ialah yang bila disebut namaku kepadanya, lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku. -(Riwayat Tirmizi)

source: Tarekat Al-Ahmadiyyah Al-Ahmadiyyah-Rasah.blogsport.com


ilhamkata ghazz:

Selawatlah kita sebanyak mungkin siang dan malam pada setiap ketika kerana pada selawat itu terlalu banyak kelebihannya dan rahsianya. Berselawat dan berzikir akan mendekatkan diri, hati, fikiran, akal dan iman kepada Tuhan. Lakukanlah dengan sabar, ketenangan, kebijaksanaan, kekuatan dan keyakinan. Insyaallah manisnya antara lambat dan cepat, kelebihannya pasti mendampingi kita, keberkatannya hanya tuhan yang mengetahui dan Dia sahaja yang akan memberi dan menilainya. Mohon dibukakan kelapangan pada waktu dan tempat untuk kita melakukannya.

Didikkan selawat dan zikir kepada anak-anak kecil agar mereka membesar dengan rahmat dan berkat serta terlindung dari perkara yang nagetif, seterusnya membesar dengan kekuatan zahir dan batin. Oleh itu marilah kita beramai-ramai mengucapkan Selawat dan Salam kepada Nabi Muhammah SAW...

Saturday, January 8, 2011

Bersaing di tahun baru 2011

Perkataan yang saya rasa sesuai untuk saya di tahun baru ini adalah BERSAING, ini kerana bersesuaian dengan usia, visi, objektif dan pengalaman yang ada. Bersaing bukan untuk berlawan atau berlumba kerana ianya berbeza dan memerlukan pemenang menjadi juara sebaliknya bersaing memberi maksud lebih positif dan senang untuk dilaksanakan.

Inilah salah satu azam saya untuk melengkapkan misi yang saya rancangkan, bersaing cara positif bersama dengan orang yang sudah mendahului menjadi perangsang untuk saya mencubanya. Ianya menguji kemampuan saya dan tahap yang saya mampu lakukan untuk berjaya bersama-sama. Ini memerlukan kreativiti, ilmu dan usaha yang lebih inovatif dan kompetitif.

Sikap profesoinal serta etika kerja dan fikiran yang luas menjadi rangsangan kepada saya untuk terus mencuba dan berjaya. Insyaallah ini akan mampu merubah hidup saya di masa hadapan jika saya tekun mengejar cita dan harapan. Saya akan gunakan segala kudrat untuk mencapainya demi untuk diri dan bersama mereka yang sealiran harapan dan tujuan.
Selamat Tahun Baru 2011 dari saya untuk semua.