Tuesday, July 22, 2008

ALLEYCATS UNTUK SEMUA

Sekecil usia ku 8 tahun, dalam tahun 70an aku mengenali Alleycats yang menjadi sejarah dalam hidup ku yang mula mengenali lagu dan muzik secara dekat. Kalau sebelum itu aku hanya di dendangkan dengan lagu kanak-kanak semenjak dari tadika, seperti lagu twinkle little star, rasa-sayang hey dan banyak lagi yang aku sudah lupa. Sememangnya aku telah didewasakan dengan lagu-lagu Alleycats sehinggalah sekarang.

Dari Alleycats, aku mula mengenali apa itu artis, penyanyi, alat muzik, irama dan senikata. Ketika kecil aku hanya ada sebuah radio di rumah yang selalu aku dan keluarga berhibur, dari situlah aku mula belajar mendengar lagu popular tanah air, mula menyanyikan lagu-lagu popular dan mengenali artis-artis popular.

Alleycats berjaya menambat hati ku, aku meminati kumpulan ini kerana setiap lagu mereka ada kualiti serta irama yang menarik dan juga suara tersendiri. Lagu Alleycats yang pertama sekali mendapat tempat dihati aku ialah " SENANDUNG SEMALAM", lagu ini benar-benar membuka telinga orang Melayu yang mendengarnya. Seakan tidak percaya penyanyi yang membawakan lagu itu adalah seorang berbangsa India.

vokal David masih berjaya menghilangkan kerinduan terhadap Alleycats.

Alleycats benar-benar telah berjaya membawa lagu Melayu begitu baik sekali, pada zaman itu ada juga seorang penyanyi bukan Melayu yang berjaya mendapat tempat dihati pendengar iaitu Andre Gohh, seorang nama besar penyanyi bukan melayu yang berjaya membawakan lagu melayu asli dengan begitu baik sekali. Bukan aku sahaja yang meminatinya mungkin ramai yang seusia dengan aku juga meminati kumpulan Alleycats ketika itu.

Selepas kejayaan lagu Senandung Semalam itu, lagu-lagu kumpulan Alleycats terus berkumandang di corong-corong radio. Alleycats sebuah kumpulan muzik yang terdiri dari kalangan pemuzik pelbagai bangsa, penyanyinya adalah David Arumugam terkenal dengan gaya rambut afro berpasangan dengan adiknya bernama Loga juga gaya rambut yang sama, rambutnya menjadi identiti bagi kumpulan ini. Alleycats berjaya meletakkan nama mereka dalam senarai artis popular ketika itu.

Lagu Senandung Semalam adalah hasil ciptaan Wan Ibrahim dan penulis liriknya saudara M.Nasir, turut sama terlibat dalam pembikinan album-album mereka ialah S.Amin Sahab dan A.Ali, mereka benyak menyumbangkan lagu atau senikata untuk setiap album alleycats. M.Nasir sebagai komposer memang tidak dinafikan semasa dibawah beliau nama Alleycats telah berjaya kerana lagu hasil ciptaanya begitu istimewa dan ada sentuhan yang tersendiri.

Selepas dari itu album demi album telah berjaya dikeluarkan dan terus mendapat sambutan yang hangat dari orang ramai, aku juga tidak terlepas untuk membeli setiap album mereka. Pada masa dulu album mereka dijual dalam bentuk cassete atau piring hitam sahaja, kebetulan seluruh ahli keluarga aku meminati Alleycats jadi aku tidak ada masalah untuk memilikinya.

Kerana, Layang-Layang Putus Tali, Mawar Merah, Hingga Akhir Nanti, Gerimis Senja, Andai Aku Pergi Dulu, Sampaikan Salam ini semua adalah sebahagian dari lagu-lagu yang popular dalam album mereka. Aku percaya kalau kalau dijumlahkan lagu yang telah dibawakan atau dirakam dalam album dari awal hingga kini hampir melebihi seratus lagu dan juga mencapai 20 buah album telah dikeluarkan.

Usia Alleycats sehingga kini mencapai 40 tahun, satu usia yamg cukup lama untuk pemuzik atau penyanyi kalau mampu bertahan hingga kini. Dalam perjalanan usia yang cukup matang, banyak dugaan, cabaran, pahit manis, suke duka telah dilalui. Boleh juga kalau aku katakan Alleycats adalah satu-satunya kumpulan contoh yang harus dijadikan model oleh penyanyi baru zaman sekarang. Bukan mudah untuk seseorang artis mampu bertahan dan mengekalkan standard persembahan dalam usia yang begitu lama.

Sepanjang aku mengenali Alleycats tidak pernah aku dengar Alleycats terlibat dengan gossip yang boleh memburukkan nama mereka, bagi aku nama mereka cukup bersih dari unsur-unsur yang nagetif, mereka berdisiplin, kuat berusaha, profesional, tidak gila glamour atau mencari publisiti murahan. Mereka boleh dianggap sebagai simbol pemuzik perpaduan untuk rakyat Malaysia. Alleycats juga berjaya mendapat tempat dan bersaing membuat persembahan di luar negara terutamanya di sekitar asia.

Dalam usia yang begitu lama sudah pasti mereka tidak boleh lari dari usia tua dan kembali kepada tuhan. Tanggal 4 june 2007 telah kembalinya Loganathan menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 54 tahun kerana menghidap penyakit kenser paru-paru, beliau hanya mampu bertahan untuk hidup selama 8 bulan sahaja. Dalam tempoh itu, Loga tidak sedikitpun menghebohkan penyakitnya kepada orang ramai atau sahabat handai, jauh sekali untuk meminta simpati ataupun bantuan. Ramai dikalangan artis terkejut dan tidak percaya hingga di penghujung hayatnya beliau boleh merahsiakan penyakitnya. Itulah peribadi Loga, seorang yang begitu ikhlas dengan kariernya sebagai penyanyi.

Loga.. lagu Andainya Aku Pergi Dulu...rupanya ada benar untuk dirinya.
Aku juga terasa kehilangannya, persoalan aku apakah haluan kumpulan Alleycats selepas itu, sebahagian dari kekuatannya telah tiada, mampukah selepas ini Alleycats meneruskan kejayaanya seperti dahulu. Bagi aku Loga seorang penyanyi yang terbaik, ikhlas, jujur, dia mengabdikan seluruh hidupnya untuk menjadi penyanyi. Pesanan yang terakhir beliau sebelum menghumbuskan nafas terakhirnya ialah " teruskan menyanyi walaupun dia tiada lagi, alleycats mesti terus hidup" inilah harapan beliau untuk Alleycats.

Sebagai penghormatan, RTM telah membuat satu rancangan dokumentari khas untuk Loga dan telah ditanyangkan kepada rakyat Malaysia perjalanan dirinya selama terlibat dalam dunia nyanyian. Rancangan itu telah banyak kali diulang tayang, aku tidak pernah ketinggalan untuk mengikutinya, setiap kali itu jugalah aku kaku dan khusyuk menjiwai persembahan setiap lagu yang telah dinyanyikannya. Kehilangannya memang sukar dicari ganti.

Baru-baru ini Alleycats dianugerahkan darjah kebesaran dari Yang Di Pertuan Agong kepada David Arumugam sebagai tanda penghargaan Alleycats dalam industri muzik tanah air. Mungkin anugerah itu agak terlambat untuk mereka, sebab ramai artis lain yang muncul selepas Alleycats telah mendahuluinya menerima darjah kebesaran tetapi berbeza dengan nasib kumpulan alleycats. Aku mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih terhadap Yang Di Pertuan Agong kerana menyedari sumbangan mereka dan menganugerahkan pingat kebesaran kepada kumpulan Alleycats.

Alleycats tiada dua, mereka adalah lagenda dan nostalgia kepada industri hiburan Malaysia, tidak ada tolok bandingnya, peminatnya begitu ramai diluar sana yang masih menanti dendangan suara mereka. Mereka unggul semoga tiada ucapan terima kasihhh....!! ataupun nota terakhir pada masa ini kerana pengaruhnya begitu besar dan orang ramai masih lagi memerlukan Alleycats dengan irama yang segar yang mampu membangkitkan nostalgia.

Itulah serba sedikit coretan dari aku, sebagai tanda penghargaan aku untuk sebuah kumpulan muzik yang begitu bermakna dalam kenangan hidup ku, apabila aku mendengarkan setiap lagu mereka pasti membuat aku begitu ikhlas untuk menghayati nyanyiannya. Alleycats adalah himpunan kenangan dari kehidupan yang di rakam menjadi cerita, yang disimpan menjadi sejarah, yang disampaikan menjadi pusaka untuk kita semua.

kumpulan Alleycats di Istana Budaya pada Konsert Senandung Semalam bersama Alleycats baru-baru in

Terimaa...Kasihhhhh.....!!

1 comment:

Dr. Abdul Wahab Arbain said...

Salam!
Kesenian, walau apa jua cabang, bidang, bentuk atau jenisnya, jika dimanfaatkan secara benar (haqq) akan mendorong kita ke arah kesyukuran dan keinsafan yang berbagai. Itulah kesenian Islam. Hebatkan!!!
Salam.