Wednesday, May 14, 2008

MENGANGKASAKAN BERAS NEGARA

Beras mengambil giliran menjadi isu semasa dalam negara kerana kenaikkan harga dan kekurangan bekalannya hampir di seluruh dunia telah memberi kesan kepada negara yang menjadikan beras sebagai makanan ruji. Malaysia juga terlibat dalam masalah ini dan seandainya tidak diatasi dengan bijak kita semua tidak akan merasa menjamah nasi sebagai makanan harian.

Kesan dari perubahan ekonomi dan perubahan cuaca dunia yang tidak menentu serta berlakunya bencana alam telah memberi kesan kepada kehidupan manusia atas dunia sekarang. Kita tidak boleh menyerahkan masalah kerana takdir yang berlaku tetapi apakah persediaan kita untuk bersedia menerima takdir yang akan berlaku.

Bukan kuasa kita menentukan takdir tetapi ianya datang dari kehendak yang Maha Kuasa dan kita tidak boleh lari dari ketentuan ini dan harus hadapinya dengan redha.


Mesti kita akui dan pelajari kelemahan dan kekurangan semua ini adalah dari kita sendiri, sebagai manusia yang telah diberikan akal fikiran dan dilantik menjadi kalifah atas muka bumi sepatutnya kita wajib menjalankan amanah dengan sebaik-baiknya. Sekiranya kita engkar dan tidak mengikut segala suruhanNya maka bersedialah kita nakbah yang akan diturunkan.

Kita sentiasa diberi pilihan melaksanakan apa yang perlu dan tidak perlu agar semuanya seimbang hidup dunia dan akhirat bukan hanya dalam fardhu ain malah fardhu kifayah juga patut kita laksanakan. Yang wajib mesti kita lakukan, haram wajib ditinggalkan, makruh tidak digalakkan, sunat baik dilakukan dan harus ada pilihan dilakukan atau tidak.

Cuba lihat dalam negara kita dan tanya pada diri sendiri apakah kita sudah manfaat segala pemberianNya untuk dinikmati sebaik mungkin? Sebagai contoh, tanaman padi, berapa banyak sawah terbiar yang tidak dikerjakan, apakah kita kekurangan segala sumber untuk mengerjakan semula sedangkan nasi adalah makanan utama kepada penduduk Malaysia.

Kita telah membangunkan negara ini dalam semua aspek dan telah mencapai tahap negara membangun yang paling maju kemudian akan cuba mencapai status negara maju tahun 2020. Kenapa dalam bidang pertanian kita agak ketinggalan tidak sepantas seperti pembangunan automotiv, telekomunikasi atau perkilangan.

Amat dukacita kebanyakkan tanah sawah dipenuhi dengan tanaman yang memberi hasil jangka pendek dan ramai pemilik tanah memilih tanaman seperti buah naga, jagung , pisang , betik ataupun ternakan ikan. Persoalannya sampai bila kita hanya mengejar keuntungan yang cepat sedangkan sumber bekalan beras kita semakin berkurangan apakah tanaman-tanaman segera ini boleh mengantikan beras sebagai makanan ruji kita.

Masih belum terlambat untuk merancakkan usaha tani kita, cuma memerlukan kepakaran, kebijaksanaan dan usaha lebih kreatif bagi merancang semula penanaman padi sebagai agenda utama industri pertanian nagara. Maka wajib kepada mereka yang layak menanam kembali padi dengan sistem pengurusan yang lebih profesional.

Tahap pendidikan rakyat telah meningkat namun perlaksanaan pengurusan secara efisen tidak dilihat membantu meningkatkan taraf pertanian negara.

Maka kerajaan boleh mengerahkan tenaga muda dan siswazah mengganggur diberi peluang membantu dengan serius untuk memajukan kembali penanaman padi secara komersial. Siswazah adalah aset penting kepada negara seandainya digunakan kebijaksanaan dan tenaga mereka pasti menampakkan hasil berganda.

Kerajaan harus sedarkan para siswazah untuk bersedia memupuk jati diri membantu menyelesaikan masalah negara. Siswazah mesti mengutamakan kepentingan negara dari mengejar kepentingan peribadi kerana disebalik usaha-usaha seperti ini ada kebaikkan dan peluang untuk mereka maju pada jangka masa hadapan.

Sekarang bukan masanya menuding jari mencari kesalahan menutup kelemahan sendiri, kerajaan yang diamanahkan sepatutnya mengurangkan bermain politik dalam pengurusan kepentingan rakyat dan negara. Jangan asyik sibuk mengejar pangkat dan nama, kita perlu ikhlas menerima tanggung jawap, jadikan usaha untuk negara mendahului kepentingan politik dan kuasa, walaupun kalah dalam perjuangan politik namun harta negara dan kepentingan rakyat mesti diurus dengan baik.

Contohi negara yang lebih maju walau apa perubahan dalam politik, walaupun pertukaran pemimpin dan parti mereka tetap mendahulukan kepentingan rakyat, mereka sanggup bertegas sesama mereka semata-mata memperjuangkan kepentingan negara.

Kita tidak boleh puas dan bangga dengan pencapaian sekarang, banyak kekurangan perlu dibaiki, jangan ada sikap ego dengan kejayaan yang dinikmati kerana hidup ini tidak akan berjaya selamanya pasti akan datang dugaan dan masalah sebagai ujian kepada kita.
Apakah maknanya angkasawan megah membelah angkasa tetapi padi dibumi kita lupakan.

No comments: