Tuesday, May 27, 2008

Lawatan ke Muzium Kesenian Islam



Baru-baru ini saya telah pergi melawat Muzuim Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur sempena pameran Iman Dan Kuasa ,Wanita Dalam Islam. Pameran ini berlangsung sehingga bulan July baru habis. Saya pergi dengan anak saya, siapa lagi itu aje kawan rapat saya ke mana aje dia mesti nak ikut...hahaha anak ayah.

Tiket masuk RM 12 kanak sekolah percuma, saya pun terus ke kaunter beli tiket. Tapi tak seronoknya selepas itu dia bagi tahu tidak dibenarkan mengambil gambar dalam tempat pameran...ye ke saya tanya balik, dia cakap memang peraturan di sini, a'alehh...terasa pulak ruginya sebab saya dah bawa kamera sekali, merungut juga dalam hati sebab duit dah bayar tapi macam-macam tak boleh...eeee tensionnya!! bukannya nak curi barang cuma ambil gambar untuk pengetahuan.


..ini adalah al qurqn yang ditulis tangan.

Hmmm...apa nak buatkan terpaksa lah ikut, sayapun naik tingkat satu ke galeri pameran terpulang nak guna tangga atau lift. Kelihatan menarik juga pandangan dalaman dari lantai sampai ke syilingnya semuanya berunsurkan seni kraf islam, sampai atas kelihatan di kawasan luarnya ada kolam air pancut serta taman mini menarik juga ianya berada di luar bahagian tengah, tapi sayang tak boleh keluar sebab pintu berkunci. Pelik juga kenapa dilarang ke sana, takkan nak bergambar di taman pun tak boleh, nak tengok aje ke?...hmm lagi satu perkara yang saya tidak puas hati.

Anak saya memang tertarik dengan taman itu...inilah masalahnya kalau banyak perkara menyusahkan dari yang menyenangkan sebab ini berkaitan orang ramai sepatutnya diambil perhatian, secara tidak langsung boleh menarik ramai lagi orang datang.

yang ini tembikar milik seorang dari pembesar wanita.

Saya pun cari pintu masuk ke galeri pamiran, kelihatan dua pintu besar saya pun tanya pengawal untuk kepastian, memang betul itulah pintu masuknya. Masuk aje dalam galeri dapat lihat penerangan ringkas mengenai pameran Iman dan Kuasa , Wanita Dalam Islam. Ada saya sertakan disini untuk dibaca.

Orang yang hadir tidaklah berapa ramai, pelancong pun ada nampaknya...menyusul selepas saya ada perempuan luar bukan orang tempatan masuk sama, seterusnya saya baca dan melihat-lihat artifak yang dipamerkan. Mula-mula sekali yang tertarik melihat replika pedang Saidina Ali iaitu Pedang Zulfikar yang digunakan semasa dalam peperangan, cantiknya sambil dilekat dengan batu permata pada sarung dan tangkainya dalam diam-diam saya pun ambil gambar pedang ini...kena pandai sebab pengawal ada.


inilah replika pedang Zulfikar...hujung nya bercabang.

Kebanyakan barang yang dipamerkan berbentuk barangan atau peralatan yang berkaitan dengan kegunaan wanita terutamanya hasil milik dari nama-nama besar bermula dari cerita isteri Nabi iaitu Saydatina Khadijah sehinggalah ke Ratu Balkis dan tidak ketinggalan juga ketua negara dari kalangan wanita zaman sekarang seperti dari Pakistan dan Bangladesh.

Kebanyakkan cerita dan penerangan mengenai peranan wanita bermula sebagai isteri kepada pemimpin besar islam dahulu sehinggalah peranan sebagai ketua negara dalam pemerintahan empayer islam masa lampau. Ada beberapa jenis artifak dipamirkan seperti pakaian, barang perhiasan, bahan solek, tempat simpanan barang kemas, tembikar dan hinggalah ke alat keselamatan yang digunakan seperti pedang, tumbuk lada, keris kecil dan lain-lain sebagai senjata mempertahan diri.



ini pula tumbuk lada, boleh juga diselitkan disanggul oleh wanita melayu.

Tidak ketinggalan barang dikalangan wanita melayu zaman dahulu dipamirkan juga, penerangan ringkas dan aktiviti mengenai wanita zaman dahulu yang dalam mehram terutama dikalangan orang Arab ada diceritakan dalam pamiran ini.

Keadaan dalam geleri tenang, ramai begitu asyik melihat dan membaca artifak yang dipamirkan. Walau bagaimanapun bagi saya bahan artifak yang ada masih tidak mencukupi kerana pamirannya agak ringkas terasa tidak puas sekejap sahaja masa boleh dihabiskan, serta ruang pamirannya juga tidak terlalu besar. Kalau dibandingkan dengan promosi yang dilakukan dalam tv memang tidak sepadan jadi alternatifnya boleh beralih kepamiran yang telah sediada seperti pamiran quran lama, senibina islam, senjata perang zaman dahulu dan lain-lain. Satu yang agak istimewanya ialah sebahagian Kelambu Kaabah.


Al Quran dari negara China.

Cukuplah setakat ini yang boleh dikongsi, anda boleh lihat gambar yang saya curi... sebenarnya tidak boleh. kebetulan anak saya pun dah lapar dan bosan pulak tu mungkin dia kurang faham walaupun saya dah terangkan serba sedikit, bagaimanapun ada juga yang menarik perhatiannya seperti quran kecil dan senjata perang.



Dalam muzium ini terdapat perpustakaan, gerai cenderamata, gerai makan, kedai buku dan lainnya lagi. Tetapi itulah kesimpulannya ada dua perkara yang saya tidak puas hati iaitu tidak dibenarkan ambil gambar dan tidak boleh keluar ke kawasan taman lanskap yang lainnya ok.

..gambar kenangan anak saya di ruang legar.



web site muzium kesenian islam
http://www.iamm.org.my/

Friday, May 23, 2008

EZAM SESAT JALAN...!


Ezam Mohd. Noor akan menyertai UMNO.... itulah tajuk cerita pasal Ezam. Dalam kita semua kecoh dengan Tun Mahathir keluar UMNO ada pula orang yang ingin memasuki UMNO. Tetapi yang peliknya kenapa sekarang dihebohkan cerita Ezam ingin masuk UMNO, kenapa tidak dari dahulu atau masa akan datang yang lebih sesuai untuk diumumkan Ezam masuk UMNO.

22 May hanya dalam akhber THE STAR sahaja yang menyiarkan cerita pasal Ezam ingin masuk UMNO. Ezam sekarang sedang berada di Jakarta, kenapa tidak tunggu sahaja beliau balik dan biarkan dia umumkan sendiri, inilah yang persoalannya dan kenapa begitu tergesa-gesa untuk dihebahkan kemasukkan beliau, siapa yang merancang cerita ini sebenarnya?

Tun Mahathir istihar keluar UMNO dan Ezam pula istihar masuk UMNO, seolah ada permainnan untuk meredakan isu panas Tun Mahathir dengan mengalihkan kepada cerita Ezam. Apakah hebahan ini mendapat restu dari Ezam ataupun Ezam sendiri sudah terperangkap dengan permainnan orang UMNO. Ezam ketika dihubungi berkata dia hanya akan membuat keputusan selepas pulang dari Jakarta minggu hadapan. Beliau bukanlah individu yang cukup besar pengaruhnya seperti Tun Mahathir yang buat gempak politik.

Ramai yang tidak menyangka Ezam akan masuk kembali dalam UMNO, tetapi itu hanya kepada orang yang tidak terlibat secara terus dalam Parti Keadailan Rakyat mungkin beranggapan begitu, tetapi dikalangan yang pernah terlibat dalam parti semenjak dari penubuhan Parti Keadilan sehingglah beliau keluar dari Parti Keadilan Rakyat, cerita ini sudah lama kedengaran. Cuma kebelakangan ini semakin ramai yang mangatakan Ezam akan masuk UMNO dan mungkin juga dia ditaja oleh orang UMNO.

Cerita beliau ingin masuk UMNO sebenarnya lebih hangat diperkatakan semasa Ruslan Kasim dan kumpulannya yang kembali pada UMNO tahun 2003 lagi, tetapi dikalangan Pemuda PKR tetap percaya dengan kata-kata beliau yang tidak akan sekali-kali masuk dalam UMNO, jadi kesetiaan dan hormat kami masih kuat pada Ezam sehinggalah beliau sendiri istihar keluar dari PKR selepas berselisih faham dan merajuk hati dengan saudara seperjuangannya sendiri iaitu Sdr. Azmin Ali.

Selepas itu Ezam menubuhkan GERAK sebuah badan NGO yang bertujuan untuk membasmi isu rasuah dalam negara. Nampaknya Ezam sendiri sudah lemas dalam menyelamatkan isu rasuah negara sebab ada diantara kes yang dilaporkan masih tidak ada tindakkan dari Kerajaan. Sebaliknya Ezam kerap mengkritik Parti Keadilan Rakyat dan juga mengkritik DS Anwar Ibrahim yang pernah menjadi mentornya dahulu.

Perubahan ini dapat dibaca, biarpun pernah ditahan ISA dan dipenjarakan namun ditengah perjalanan mencipta nama sebagai individu yang menyinar sebagai idola politik dikalangan pemuda, Ezam sudah dilihat sudah tidak popular seperti dahulu lagi. Jadi inilah caranya beliau ingin menaikkan kembali namanya dalam politik setelah usaha beliau dalam GERAK tidak menampakkan impak untuk melonjakkan namanya kembali.

Ezam seperti sesat jalan ingin membuat keputusan kembali kepada UMNO seolah-olah mencari glamour politik seperti artis yang sudah kurang popularitinya, sama-samalah kita nantikan akedemi fantasia politik Ezam hingga peringkat akhir nanti.

Mungkin juga rasa cemburu terhadap kawan-kawan dalam PKR yang ramai sudah berjaya bergelar Yang Berhormat dan parti PKR pula telah berjaya membuahkan hasil dalam pilihanraya lepas, ini telah membuatkan Ezam terasa malu untuk gila talak merujuk kepada PKR, rasa malu ini jugalah yang telah mendorong dirinya mengambil jalan singkat terpaksa kembali mengetuk rumah UMNO untuk berteduh setelah menjadi anak terbuang tanpa haluan.

Dari andaian bacaan politik semasa dalam UMNO, akan ada pertandingan pemilihan jawatan tertinggi hujung tahun ini, apakah mungkin ada tawaran untuk Ezam bertanding dalam Pemuda UMNO...hahaha ini semua andaian sahaja! Pemilihan pemuda akan datang agak sengit terutama diantara Khairi denga Mukhriz yang telah menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO. Apakah Ezam juga akan terlibat dalam pemilihan itu nanti, seandainya betul Ezam disebelah siapa? sama-samalah kita tunggu pemilihan itu nanti.

Ezam pernah disebut oleh TG Nik Aziz, seorang anak muda yang disayangi dan berkarisma, tetapi sayang selepas ini apakah Ezam terfikir akan tindakkannya jika berhadapan dengan nama besar dalam politik pembangkang yang pernah bersama-sama dahulu. PAS ada membuat tawaran untuk menjadi ahli barunya, semuanya terpulang kepada Ezam rumah mana yang lebih sesuai untuk dia berteduh.

Beliau harus terima hakikat jika selepas memasuki UMNO nanti ramai akan memberi berbagai lebel yang negatif terhadap dirinya. Bersediakah Ezam menghadapi kawan musuh-musuh politiknya dahulu dan bagaimana pula rasanya menjilat kembali ludah, tuduhan dan sumpah seranah yang pernah dilemparkan terhadap orang UMNO.

Wednesday, May 21, 2008

RELEK.. TENGOK LAWAN BOLASEPAK

Sabtu lepas saya telah pergi menonton perlawanan bola sepak Antara Benua Bawah 23 tahun yang sedang di negara kita. Dua stadium digunakan untuk pertandingan ini iaitu Stadium Petaling Jaya dia Kelana Jaya dan Stadium Kuala Lumpur di Cheras.

Petandingan ini dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A terdiri dari pasukan Malaysia, Nigeria, Ireland dan Iraq, manakala Kumpulan B terdiri dari pasukan Australia, Croatia, Chile dan Togo.

Saya teringin sangat menonton pertandingan ini kerana minat bolasepak dan ada masa lapang, petang sabtu saya pun pergi ke Stadium Kuala Lumpur di Bandar Tun Razak kebetulan rumah sayapun berdekatan dengan stadium tersebut.

Selepas pergi jogging di Taman Tasik Permaisuri petang tu..sayapun terus ke stadium dalam keadaan berpeluh-peluh saya pergi beli tikit, tidak mahal cuma rm 10 dan ada dua pilihan satu berharga rm15 untuk duduk di grandstand.

Perlawanana hari tu ada dua iaitu perlawanan pertama diantara Croatia dengan Togo, dan yang kedua antara Australia dengan Chile. Saya tengok perlawanan ini sebab ingin melihat perbezaan permainnan dari setiap wakil-wakil benua.

Selepas itu sayapun masuk ke dalam stadium, sebelum itu tidak dibenarkan membawa air botol, topi keledar, benda keras dan lain yang bahaya. Rasa beruntung kerana dapat menonton dua perlawanan sekali gus dengan harga tikit yang murah pulak tu... masuk dalam stadium saya bebas mengambil tempat tetapi malangnya bilangan penonton yang datang boleh dibilang tidak sampaipun 100 orang.

Untuk perlawanan antara Togo dengan Croatia, saya sebenarnya ingin melihat seorang pemain Togo yang bermain untuk Arsenal iaitu Emual Adebayor tetapi selepas menonton agak lama tidak kelihatan juga pemain tersebut. Kecewa juga hasrat ingin melihat pemain bintang dari EPL bermain depan mata, rupa-rupanya beliau masih belum lagi tiba di Malaysia.

Sayapun tengok sorang-sorang sehingga habis perlawanan dan keputusannya Togo kalah 1-0 dengan Croatia, ulasan perlawanan boleh dikatakan memuaskan, Togo bermain corak permainnan keras dan pantas, banyak sentuhan dan hantaran "one to one" cuma di bahagian penyerang kurang bahaya tetapi perlawanan seimbang dua pasukan.

ini perlawanan antara Togo dengan Croatia....
tengoklah tempat duduk penonton kosong..!

Selesai perlawanan pertama saya pun menunggu perlawanan kedua antara Australia dengan Chile, nampaknya pasukan Australia tiba lebih awal dari Chile mereka juga sempat menonton perlawanan pertama. Penonton masih juga tidak berubah kehadiram masih kurang dan tidak banyak bezanya.

Perlawanan kedua nampak lebih rancak dari perlawanan yang pertama, permainnan banyak dikuasai oleh pasukan Chile dengan permainnan yang pantas dan hantaran yang kemas sesekali memerangkap pasukan Australia.

Australia juga membuat serangan yang pantas dan hampir berjaya menghasilkan gol cuma palang gol jadi halangan setelah penjaga gol tewas dalam pergelutan depan pintu gol pasukan Chilie, nasib menyebelahi Chile dan perlawanan menjadi lebih rancak sterusnya.

Kelebihan pasukan Astralia adalah saiz tubuh badan pemain lebih besar dan tinggi manakala pemain Chile rata-ratanya bersaiz agak kecil tetapi mempunyai skil yang bagus dan mengelirukan setiap kali mereka membuat gerakkan balas.

Pasukan Australia akhirnya dapat mencuri peluang dari serangan balas yang pantas dan berjaya mehasilkan gol dari hantaran cantik pemain sayapnya disambut kemas oleh pemain tengahnya dan menjolok masuk gol pertama. Walaupun bagitu Chile terus menguasai permainnan sehinggalah diakhir minit separuh masa pertama pasukan Chile berjaya mendapatkan gol penyamaan melalui ketua pasukannya hasil tendangan percuma dari jarak 20 meter terus menerjah ke penjuru pintu gol. Kedudukkan menjadi satu sama sehingga wisel penamat separuh masa pertama ditiupkan.

Masuk separuh masa kedua, kedua-dua pasukan rancak menyerang untuk mencari gol kemenangan, sesekali kelihatan pemain Australia agak kasar sehingga pengadil kerap bertindak pantas menghalang keadaan menjadi ganas. Pemain Australia yang memang terkenal lagak samsing sering mencetuskan kemarahan kepada pemain Chile. Akhirnya pasukan Australia berjaya menghasilkan gol keduanya dan permainnan menjadi semakin rancak dan agak panas kadang-kala berlaku kekasaran kecil.


Ini pasukan Australia dengan Chile sebelum perlawanan...
semua bangun dengar lagu kebangsaan dia orang....


Banyak juga kad kuning dilayangkan kepada pemain Australia sehinggalah seorang pemainnya numbor 17 mendapat kad kuning keduanya dan terus dilayangkan kad merah diarah keluar padang.

Sungguhpun begitu pasukan Chile masih gagal mendapatkan gol keduanya kerana pertahanan Austrlia cukup kebal menghalang serangan Chile, Chile agak buntu mencari ruang membuat jaringan walaupun kelicikkan pemain no 4 mereka sering membuat serangan yang membahayakan keadaan.

Sehinggalah ke akhir perlawanan keadaaan tidak berubah dan Austrlia mendahului dengan dua berbalas satu, kemenangan berpihak pada Australia dan rekod mereka juga masih belum kalah. Keadaaan pasukan Chile agak tertekan dengan keputusan itu walaupun mereka mempamirkan permainnan yang cantik tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

Kesimpulan yang boleh saya berikan mengenai pasukan yang bertanding dan mutu permainnan yang ditunjukkan memang menarik untuk perbandingan dengan pasukan Kebangsaan kita mungkin kekurangan dari fizikal, keyakinan diri berhadapan dengan pasukan yang ada nama dan kualiti yang masih tidak mencapai tahap seperti pasukan lain yang lebih maju dalam sukan bolasepak ini.

Walau bagaimanapun ucap tahniah juga untuk pasukan negara kerana mampu memberi saingan, seri dua kali dan kalah sekali, kita gagal ke separuh akhir cuma beza jaringan dengan Nigeria . Seterusnya pasukan Australia, Chile, Ireland dan Nigeria layak keseparuh akhir. Pertandingan ini akan berakhir pada 25May nanti diharap kalau ada peluang saya akan pergi lagi menonton perlawanan seterusnya...choww!!

...my son, only he interested watching football more than super league players.

Wednesday, May 14, 2008

MENGANGKASAKAN BERAS NEGARA

Beras mengambil giliran menjadi isu semasa dalam negara kerana kenaikkan harga dan kekurangan bekalannya hampir di seluruh dunia telah memberi kesan kepada negara yang menjadikan beras sebagai makanan ruji. Malaysia juga terlibat dalam masalah ini dan seandainya tidak diatasi dengan bijak kita semua tidak akan merasa menjamah nasi sebagai makanan harian.

Kesan dari perubahan ekonomi dan perubahan cuaca dunia yang tidak menentu serta berlakunya bencana alam telah memberi kesan kepada kehidupan manusia atas dunia sekarang. Kita tidak boleh menyerahkan masalah kerana takdir yang berlaku tetapi apakah persediaan kita untuk bersedia menerima takdir yang akan berlaku.

Bukan kuasa kita menentukan takdir tetapi ianya datang dari kehendak yang Maha Kuasa dan kita tidak boleh lari dari ketentuan ini dan harus hadapinya dengan redha.


Mesti kita akui dan pelajari kelemahan dan kekurangan semua ini adalah dari kita sendiri, sebagai manusia yang telah diberikan akal fikiran dan dilantik menjadi kalifah atas muka bumi sepatutnya kita wajib menjalankan amanah dengan sebaik-baiknya. Sekiranya kita engkar dan tidak mengikut segala suruhanNya maka bersedialah kita nakbah yang akan diturunkan.

Kita sentiasa diberi pilihan melaksanakan apa yang perlu dan tidak perlu agar semuanya seimbang hidup dunia dan akhirat bukan hanya dalam fardhu ain malah fardhu kifayah juga patut kita laksanakan. Yang wajib mesti kita lakukan, haram wajib ditinggalkan, makruh tidak digalakkan, sunat baik dilakukan dan harus ada pilihan dilakukan atau tidak.

Cuba lihat dalam negara kita dan tanya pada diri sendiri apakah kita sudah manfaat segala pemberianNya untuk dinikmati sebaik mungkin? Sebagai contoh, tanaman padi, berapa banyak sawah terbiar yang tidak dikerjakan, apakah kita kekurangan segala sumber untuk mengerjakan semula sedangkan nasi adalah makanan utama kepada penduduk Malaysia.

Kita telah membangunkan negara ini dalam semua aspek dan telah mencapai tahap negara membangun yang paling maju kemudian akan cuba mencapai status negara maju tahun 2020. Kenapa dalam bidang pertanian kita agak ketinggalan tidak sepantas seperti pembangunan automotiv, telekomunikasi atau perkilangan.

Amat dukacita kebanyakkan tanah sawah dipenuhi dengan tanaman yang memberi hasil jangka pendek dan ramai pemilik tanah memilih tanaman seperti buah naga, jagung , pisang , betik ataupun ternakan ikan. Persoalannya sampai bila kita hanya mengejar keuntungan yang cepat sedangkan sumber bekalan beras kita semakin berkurangan apakah tanaman-tanaman segera ini boleh mengantikan beras sebagai makanan ruji kita.

Masih belum terlambat untuk merancakkan usaha tani kita, cuma memerlukan kepakaran, kebijaksanaan dan usaha lebih kreatif bagi merancang semula penanaman padi sebagai agenda utama industri pertanian nagara. Maka wajib kepada mereka yang layak menanam kembali padi dengan sistem pengurusan yang lebih profesional.

Tahap pendidikan rakyat telah meningkat namun perlaksanaan pengurusan secara efisen tidak dilihat membantu meningkatkan taraf pertanian negara.

Maka kerajaan boleh mengerahkan tenaga muda dan siswazah mengganggur diberi peluang membantu dengan serius untuk memajukan kembali penanaman padi secara komersial. Siswazah adalah aset penting kepada negara seandainya digunakan kebijaksanaan dan tenaga mereka pasti menampakkan hasil berganda.

Kerajaan harus sedarkan para siswazah untuk bersedia memupuk jati diri membantu menyelesaikan masalah negara. Siswazah mesti mengutamakan kepentingan negara dari mengejar kepentingan peribadi kerana disebalik usaha-usaha seperti ini ada kebaikkan dan peluang untuk mereka maju pada jangka masa hadapan.

Sekarang bukan masanya menuding jari mencari kesalahan menutup kelemahan sendiri, kerajaan yang diamanahkan sepatutnya mengurangkan bermain politik dalam pengurusan kepentingan rakyat dan negara. Jangan asyik sibuk mengejar pangkat dan nama, kita perlu ikhlas menerima tanggung jawap, jadikan usaha untuk negara mendahului kepentingan politik dan kuasa, walaupun kalah dalam perjuangan politik namun harta negara dan kepentingan rakyat mesti diurus dengan baik.

Contohi negara yang lebih maju walau apa perubahan dalam politik, walaupun pertukaran pemimpin dan parti mereka tetap mendahulukan kepentingan rakyat, mereka sanggup bertegas sesama mereka semata-mata memperjuangkan kepentingan negara.

Kita tidak boleh puas dan bangga dengan pencapaian sekarang, banyak kekurangan perlu dibaiki, jangan ada sikap ego dengan kejayaan yang dinikmati kerana hidup ini tidak akan berjaya selamanya pasti akan datang dugaan dan masalah sebagai ujian kepada kita.
Apakah maknanya angkasawan megah membelah angkasa tetapi padi dibumi kita lupakan.

Monday, May 12, 2008

Teks Khutbah sempena Palestin dijajah dan dizalimi

Berikut ialah teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Dr Zainurrashid Zainuddin , Perinding AMAN Palestin sempena ulangtahun ke 60 negara berdaulat Palestin dijajah dan rakyat Palestin dizalimi. Dr Zainurrashid menyeru kepada khatib-khatib masjid di seluruh Malaysia agar memberi kesedaran kepada umat Islam di Malaysia ini semasa Khutbah Jumaat 16 Mei 2008. Doa kami untuk mu rakyat Palestin.

MEMPERINGATI 60 TAHUN NAKBAH DI PALESTIN

الْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ وَلا عُدْوَانَ إلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ, أشْهَدُ أنْ لاَ إلهَ إلاّ اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ، وَأشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا وَنَبِيَّنَا محمدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، بَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَأدَّى الأمَانَةَ، وَنَصَحَ الأُمَّةَ، وَدَعَا إلَى سَبِيْلِ رَبّهِ بِالْحِكْمَةِ وَالْمًوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ، وَجَاهَدَ فِي سَبِيْلِ اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ، - فَجَزَاهُ اللهُ عَنَّا وَعَنِ الْمُسْلِمِيْنَ خَيْرَ الْجَزَاءِ -. أللهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلى سَيِّدِنَا محمدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أمَّا بَعْدُ، فيَا عِبَادَ اللهِ، أُوْصِيْكُمْ وَإيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

أعُوْذُ باللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْم. بسم الله الرحمن الرحيم.


Maksudnya:
Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya untuk Kami perlihatkan kepadanya ayat-ayat (tanda-tanda) kebesaran Kami, sesungguhnya Dialah Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Surah al-Isra’: 1)

Sidang Jumaat rahimahullah,
Semalam 15 Mei 2008 genaplah sudah 60 tahun, bumi yang menempatkan Qiblat pertama umat Islam dijajah oleh satu bangsa yang paling angkuh dan paling berkuasa di dunia ketika ini. Bumi Palestin yang telah di buka oleh Amirul Mu’minin Sayyidina Umar r.a. pada tahun 636M yang menjanjikan keamanan untuk semua, akhirnya telah dicemari dengan pelbagai kemusnahan dan kesengsaraan, kemusnahan kepada harta benda, tempat ibadah, akhlak, perasaan, malah nyawa insan yang sudah sekian lama menjadi penghuni tetap di bumi Allah yang diberkati itu. Yang menjadi perhitungan kaum ini hanyalah bagaimana mereka mampu menjadikan insan selain mereka sebagai haiwan tunggangan (Guweim) demi mencapai hasrat mereka.

Sidang Jumaat rahimahullah,
60 tahun Nakbah.. Itulah istilah yang sentiasa bermain di bibir setiap insan yang prihatin mengenai isu Palestin, tanpa mengira siapa mereka. Bagi golongan Zionis, mereka merayakan angka 60 tersebut dengan penuh kegembiraan dan keseronokan yang menggambarkan sudah 6 dekat kaum mereka dapat bertapak dan berkuasa di bumi yang didakwa sebagai ‘bumi yang dijanjikan (أرْضُ الْمِيْعَاد)’ untuk kaum mereka. Manakala umat Islam yang prihatin mengenai isu Palestin pula menjadikan angka tersebut sebagai satu peringatan bahawa sudah 6 dekat bumi Islam itu dijajah dan diperkosa. Dari itu mereka menjadikan usaha-usaha lepas yang pernah dilakukan dalam membebaskan al-Aqsa sebagai pengalaman dan pengajaran untuk langkah seterusnya dalam perjuangan membebaskam `bumi perjuangan (أرْضُ الرِّبَاط) ini.

`Nakbah’ mungkin merupakan satu istilah yang agak asing bagi sebahagian rakyat Malaysia melainkan buat mereka yang benar-benar prihatin mengenai isu umat Islam antarabangsa terutamanya di Palestin. `Nakbah’ bermaksud malapetaka atau bencana besar. Manakala `Nakbah Palestin’ merujuk kepada penubuhan Negara Haram Israel yang telah diistiharkan secara resminya pada 15hb Mei 1948. Peristiwa ini berlaku selepas terlaksananya kependudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal Negara Palestin secara sistematik dengan bantuan British dan PBB. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam buat penduduk Palestin, orang-orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya. Negara Palestin yang selama ini telah dinaungi kedamaian dan keadilan untuk ribuan tahun itu semakin merasai keperitan, kepedihan dan derita yang berpanjangan apabila mereka berada di bawah jajahan dan kongkongan Yahudi Zionis sejak enam dekad yang lalu.

Cadangan penubuhan negara khas untuk orang-orang Yahudi telah dibuat oleh seorang wartawan Hungari, Theodore Hertzl yang merupakan pengasas gerakan Zionis. Kewujudan Pertubuhan Yahudi Antarabangsa (WZO) melalui persidangannya yang pertama di Basle, Switzerland pada 27-29hb Ogos 1897 di bawah pimpinan wartawan tersebut telah membuka era aktiviti politik Zionis, mengorak langkah kepada pembentukan Negara Yahudi di Palestin.


Manakala British pula merupakan sekutu kuat gerakan Zionis sentiasa menyebelahi mereka, telah mengisytiharkan Deklarasi Balfour pada 2hb November 1917, dengan memberi jaminan untuk mewujudkan sebuah negara khusus untuk bangsa Yahudi di Palestin. Selepas itu berlakulah penghijrahan beramai-ramai secara sistematik yang melibatkan ratusan ribu Yahudi Eropah dan Rusia ke Palestin. Sedikit demi sedikit tanah milik penduduk Palestin dirampas sama ada dengan cara kekerasan mahupun dengan cara penipuan oleh pendatang haram Yahudi.

Rentetan duka Palestin semakin berpanjangan apabila sidang pleno PBB yang dipengaruhi Yahudi telah mengeluarkan ‘Ketetapan 181’ yang malang pada 29hb November 1947 dengan membahagikan 2/3 tanah Negara Palestin kepada pendatang Yahudi manakala bakinya yang hanya 1/3 keluasan tanah pula diberikan kepada penduduk asal Palestin yang sah. Ketetapan ini sangat bercanggah dengan prinsip PBB sendiri iaitu untuk melaksanakan ketetapan hak-hak bangsa dari segi kebebasan dan penentuan nasib mereka sendiri.

Ketika Yahudi Zionis erat bekerjasama dengan British dan PBB demi mencapai cita-cita mereka, Liga Negara Arab pula gagal membantu perjuangan rakyat Palestin bagi mempertahankan hak-hak asasi mereka dalam mempertahankan kedaulatan Negara Palestin yang telah mereka diami sejak 4500 tahun lamanya. Penglibatan tentera dari Liga Negara Arab yang digembar-gemburkan itu hanyalah merupakan tragedi apabila mereka telah ditewaskan dengan mudah oleh angkatan tentera pengganas Yahudi yang juga telah meresap ke dalam pimpinan tentera Liga Negara Arab.

Dengan kekalahan yang mengaibkan tentera Arab di dalam peperangan ini dan diikuti dengan penaklukan 78 % bumi Palestin, Yahudi Zionis telah mengumumkan Negara “Israel” pada petang 14hb Mei 1948. British mengundurkan tentera dan pemerintahannya ke atas Palestin apabila Negara Israel yang merdeka diistiharkan secara resminya pada 15hb Mei 1948.

Sidang Jumaat rahimahullah,
Umat Islam Palestin kini merintih dan menangis meminta pembelaan dari saudara seakidah sebagaimana mereka pernah merintih dan menangis apabila tentera Salib menakluki Baitul Maqdis pada 4 Julai 1099 sehingga menyebabkan 70.000 muslimin dibunuh dengan kejam tanpa belas kasihan. Kalau dulu, keadaan seperti ini akhirnya dapat diselamatkan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada 2 Oktober 1187, iaitu setelah selama 88 tahun bumi suci ini dijajah. Tetapi kini, dimanakah Salahuddin, sebagai pembebas Palestin? Di manakah Umar, sebagai pembuka Palestin?. Umat Islam hari ini memerlukan jiwa seperti mereka. Jiwa umat Islam perlu dibangunkan kembali, tanpa mengira sempadan geografi atau keturunan. Jiwa umat Islam seluruh dunia wajib disedarkan sekarang ini, sebagaimana sedarnya jiwa-jiwa umat Islam Palestin untuk membebaskan Baitul Maqdis apabila Intifadhah bermula pada 8 Disember 1987. Jiwa umat Islam perlu dimerdekakan daripada perhambaan kepada hamba, kepada perhambaan hanya kepada Allah Yang Tunggal lagi Maha Perkasa.

Sidang Jumaat rahimahullah,
Sesungguhnya pengganas Yahudi tidak pernah mengenal mangsa, sama ada bayi, kanak-kanak, remaja, lelaki, wanita, yang sempurna anggotanya maupun yang cacat. Malah al-Quran dan juga sejarah telah mencatatkan, bagaimana mereka sanggup membunuh para Anbiya’ daripada kalangan Bani Israel sendiri. Inilah apa yang telah berlaku ke atas Nabi Zakaria dan Nabi Yahya. Mereka juga telah menganggap bahawa merekalah yang telah membunuh Sayyidina Isa a.s. Walau bagaimana pun perkara ini telah dinafikan sendiri oleh al-Quran melalui firman Allah s.w.t.

Maksudnya:
Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: Sesungguhnya kami telah membunuh al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasulullah. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak menyalibnya , tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa)… (Surah al-Nisa’: 157)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Peranan yang mungkin kita dapat laksanakan bagi menyatakan kebersamaan kita dengan umat Islam Palestin dan juga perjuangan membebaskan Masjidil Aqsa adalah berlegar sekitar tiga paksi penting, iaitu; pengetahuan, perasaan dan praktikal:

PAKSI PENGETAHUAN

1. Kita perlu mengetahui punca berlakunya isu di atas menurut sejarah (dulu dan sekarang), termasuk juga mengetahui latar belakang bumi Palestin dari sudut agama ataupun kebudayaan.

2. Perlu mengetahui hakikat pertembungan kita terhadap Yahudi, bukannya bertitik tolak daripada perasaan benci, dengki atau dendam, tetapi ia adalah bertitik tolak daripada tindak balas terhadap permusuhan yang mereka lakukan dan juga usaha untuk mengembalikan hak umat Islam yang dirampas.

3. Kita perlu mengetahui bahawa isu ini berkaitan dengan semua orang Islam dan juga arab serta perlunya menolak segala salah faham yang berkaitan dengannya.

4. Kita perlu memperbetulkan penggunaan istilah yang terpesong daripada maksud sebenar, yang cuba dimainkan oleh media musuh. Antaranya; istilah pengganas telah mereka gunakan bagi merujuk kepada umat Islam yang berjuang menentang penjajah di Palestin, begitu juga istilah operasi berani mati atau operasi bunuh diri telah diperkenalkan kepada dunia bagi menggantikan istilah sebenar dalam Islam iaitu operasi syahid.
5. Kita perlu mengetahui dan menyedari bahawa ketidak pedulian orang Islam dan arab daripada persoalan akhlak, nilai dan syariah di kalangan mereka adalah bahaya yang mengatasi kekuatan tentera yang ada pada Zionis.

6. Kita perlu memerangi fahaman yang negatif dan logika menyerah tanpa berusaha (mantiq tawaakuli), yang menyebabkan seseorang merasa berpuas hati, mundur ke belakang, hanya mengucap لا حول ولا قوة إلا بالله (tiada daya dan upaya melainkan milik Allah) dan berdoa, tanpa menunaikan kewajipan-kewajipan yang mereka mampu melaksanakannya.

7. Kita perlu menyatakan bahawa jihad mempunyai pelbagai cara, tanpa wujud sebarang pengurangan pahala atau kesannya dibandingkan dengan jihad bersenjata, seperti jihad dengan harta benda, jihad dengan ucapan, memboikot ekonomi musuh dan juga sokongan moral. Sesungguhnya setiap jiwa daripada kalangan umat ini baginya ada peranan dalam kontaks ini. Tidak ada seorang pun mempunyai alasan untuk berundur atau merasa lemah maupun bertangguh.

PAKSI MAKNAWI (JIWA)

1. Mengekang perasaan kecewa atau putus asa dengan merangsangkan harapan yang kuat dalam jiwa umat dengan meletakkan kebergantungan yang kuat kepada Allah s.w.t. serta percaya bahawa adanya di sana kayu ukur yang lain bagi mencapai kemenangan selain daripada kayu ukur biasa dalam bentuk zahir.

2. Menghidupkan perasaan dan sensitiviti terhadap apa yang sedang berlaku di sana, sama ada pencabulan tempat-tempat suci umat Islam, pembunuhan atau pencabulan ke atas kehormatan anak-anak gadis mereka.

3. Menghidupkan ruh jihad dalam jiwa ummah dan memerangi penyakit al-wahn yang diterjemahkan sebagai cintakan dunia serta takutkan mati. Di sinilah lahirnya kepentingan `tarbiyyah’ sama ada untuk individu maupun masyarakat.
4. Perlunya `nafas panjang’ tanpa gelojoh. Apa yang telah berlaku dan sedang berlaku merupakan hasil kesinambungan kerja yang dilakukan dalam tempoh yang panjang. Oleh itu `jalan pengislahan’ juga memerlukan tempoh.

PAKSI AMALI / PRAKTIKAL

1. Menyokong seruan pemboikotan ekonomi ke atas barangan musuh (zionis) dan juga pendokong mereka. Ini merupakan seruan yang telah dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Yusof al-Qardhawi sejak beberapa tahun lepas.

2. Menghulurkan derma dalam apa jua bentuk sekalipun untuk umat Islam Palestin melalui pintu-pintu resmi atau badan-badan NGO yang sedia ada dan diyakini.

3. Mengadakan pameran-pemeran mengenai apa yang berlaku di bumi Palestin, di masjid-masjid, surau-surau, dewan-dewan serbaguna atau sebagainya.

4. Tidak mengabaikan golongan bukan Islam dalam membicarakan dan melibatkan diri dalam isu ini, di atas asas persefahaman bersama dan menyerlahkan dimensi kemanusiaan. Persefahaman ini adalah bertitik tolak daripada kefahaman yang benar, adil dan berdasarkan kemanusiaan.

Sidang Jumaat rahimahullah,
Jika sekiranya bangsa Yahudi dimotivasikan oleh kitab Talmud mereka, umat Islam semestinya dimotivasikan dan dibangunkan jiwa mereka dengan kitab suci al-Quran. Itulah cara dan jalan terbaik bagi memastikan umat Islam terbela dan mendapat haknya serta tidak lagi diperkotak katikkan oleh musuh-musuh Islam. Sesungguhnya kemenangan Islam itu memang pasti akan berlaku, maka beruntunglah bagi mereka yang berusaha untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam yang pernah dikecapi sebelum ini.

Allaahumma ya Aziz ya Muntaqim!, satukanlah hati-hati umat Islam dengan ikatan yang satu, demi mempertahankan tanah suci Baitul Maqdis. Berikanlah kepada kami kemenangan yang hakiki dan seterusnya memperoleh kejayaan abadi di Akhirat nanti. Lembutkanlah hati- hati kami untuk sentiasa menghulurkan pertolongan dan bantuan kepada saudara kami di Palestin dan jadikanlah kehidupan kami sebagai secebis perjuangan untuk membebaskan bumi yang tercinta Palestin.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم


Maksudnya:
Telah dilaknat orang-orang yang telah kafir dari Bani Israil melalui lidah Dawud dan Isa bin Maryam, demikian itu disebabkan perbuatan mereka yang ingkar dan sesungguhnya mereka itu orang-orang yang melampau. (Surah al-Maidah: 78)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِيْ وَإيَّاكُمْ بِالآيَاتِ والذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلْ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ.
أَقُوْلُ قَوْلَ هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِجَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

.....................................................................................
Sumber khutbah ini saya perolehi dari blogger http://waghih.blogspot.com .Ini sebagai rasa perihatin untuk dikongsi kepada semua.